Jumaat, 17 Julai 2015 | 3:15pm

Ops Selamat: Kes kemalangan, kematian naik mendadak

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 155 kematian sehingga semalam dan 94 daripadanya membabitkan penunggang motosikal sepanjang Ops Selamat 7/2015 sejak ia dilancarkan.

Kemalangan membabitkan motosikal menjadi penyumbang peningkatan kadar kematian kemalangan jalan raya.

Ketua Pasukan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff, berkata pihaknya merekodkan sebanyak 20,257 kes kemalangan jalan raya sejak Ops Selamat dilancarkan.

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 106,948 saman kepada pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan dan saman paling banyak adalah kesalahan memandu laju dengan 53,634 saman.

"Sebelum ini, kita hanya merekodkan 18 kemalangan setiap hari tetapi ia meningkat sehingga 22 kemalangan setiap hari.

"Kita akan menjalankan kajian terhadap setiap punca kemalangan dan kemalangan paling tinggi membabitkan jalan persekutuan.

"Setiap 10 kemalangan, enam daripadanya adalah penunggang motosikal. Statistik ini sangat luar biasa kerana kemalangan meningkat secara mendadak,"katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ketua Polis Negara, di Bukit Aman, sebentar tadi.

Beliau berkata, angka itu jelas menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding tahun lalu dan polis akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memandu secara berhemah.

Beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik.

Berita Harian X