Sabtu, 18 Julai 2015 | 12:21pm
JWANITA bakal ditayangkan pada 24 September depan.

Maya Karin kembali dengan genre seram


JWANITA turut menyaksikan Maya kembali berlakon di bawah arahan Osman Ali.

KUALA LUMPUR: Watak pontianak cantik memang cukup sinonim dengan Maya Karin menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam sekitar 2004.

Filem yang diarahkan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu masih lagi berbekas hingga sekarang.

Cuma selepas itu, pelakon yang mempunyai mata cantik itu lebih dilihat banyak berlakon dalam filem komedi romantik atau genre cinta seperti Ombak Rindu dan Sejoli.

Berita baik peminat yang merindui aksi Maya dalam filem seram, Maya akan kembali ke gelanggang filem atas paksi seram.

Dua filem yang menunggu giliran tayangan tak lama lagi itu ialah Nota dan Jwanita.


POSTER filem Jwanita.

"Agak lama juga saya tak berlakon filem seram atau misteri. Filem Nota akan ditayangkan pertengahan Ogos ini dan diikuti Jwanita pada 24 September depan.

"Jwanita turut menyaksikan saya kembali berlakon di bawah arahan Osman Ali. Skrip dan cerita juga daripada pengarah itu. Ia terbitan Nuansa Sdn Bhd dan Ehsan Production," katanya yang turut mempromosikan lagu raya baharu berjudul Pulang, saat ini.

Ditanya mengenai kemunculan lagu Pulang, Maya menjelaskan ia terjadi tanpa diduga.


ANTARA babak dalam lakonan filem Jwanita.

"Kebetulan komposer lagu ini baharu menyedari ada lagu dalam simpanannya. Jadi bermulalah proses rakaman. Lagu ini lebih kepada mengajak semua orang untuk pulang beraya.

"Memang sesuai sangat untuk musim raya ini. Kalau sebelum ini penyanyi Aisyah ada lagu raya Pulanglah dan Misha Omar dengan lagu berhantu, Pulangkan, kini giliran saya pula menyanyi lagu dengan judul yang hampir sama," seloroh Maya.

Berita Harian X