Ahad, 19 Julai 2015 | 5:20pm

Buruh maut ditetak tiga lelaki bertopeng

JOHOR BAHRU: Seorang buruh maut selepas ditetak beberapa kali oleh tiga lelaki bertopeng berdekatan sebuah kelab malam di Gelang Patah, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, mangsa, Liew Poh Heng, 22, mati akibat kecederaan parah di kepala, tangan kiri dan kaki.

Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata siasatan polis mendapati suspek yang menaiki Proton Waja disyaki kenderaan curi memakai topeng serta bersenjatakan parang.

"Suspek sebelum itu melanggar mangsa dan seorang lagi rakannya yang menaiki motosikal sebelum kedua-dua mereka terjatuh.

"Mangsa kemudian ditetak beberapa kali, manakala rakannya berusia 21 tahun cedera di betis akibat dilanggar kereta berkenaan dan berjaya melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, di sini, sebentar tadi.

Noor Hashim berkata, suspek juga meninggalkan kereta terbabit di lokasi kejadian sebelum melarikan diri dan siasatan polis mendapati kenderaan itu di curi di kawasan Taman Nusajaya Emas, dekat sini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

Berita Harian X