Ahad, 19 Julai 2015 | 8:48pm

Dua pemancing hilang di perairan Dungun

DUA sahabat dipercayai hilang selepas bot mereka karam di kawasan Batu Pelanduk petang ini. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Dua pemancing dilaporkan hilang selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka karam di perairan Dungun, di sini, petang tadi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Sabrie Kamaruddin, 22, berasal dari Dungun dan rakannya, Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, berasal dari Kuala Lumpur.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 3.30 petang itu, bot yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum ia karam dipukul ombak.

Rentetan itu, kedua-dua mangsa dikatakan sempat berpaut pada tong plastik, namun dihanyutkan arus.

Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri, Abdullah Zawawi Mohamed, berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dilancarkan sebaik menerima laporan daripada polis.

Beliau berkata, operasi mencari mangsa di sekitar perairan Dungun turut membabitkan nelayan tempatan.

"Pihak kami juga telah memaklumkan kehilangan mangsa kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin bagi meningkatkan usaha menjejaki mangsa," katanya.

Beliau berkata, seorang daripada mangsa juga sempat menelefon kakaknya pada kira-kira 5.30 petang tadi memaklumkan mereka hanyut sehingga ke perairan Marang.

Sehubungan itu, operasi mencari juga diperluaskan ke sekitar perairan itu. - BERNAMA

Berita Harian X