Ahad, 19 Julai 2015 | 9:01pm
KETUA Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff.

Op Selamat: Kes kemalangan jalan raya terus meningkat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 12,383 kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan 203 kematian direkodkan sehingga hari kedua Aidilfitri semalam, sejak Op Selamat 7/2015 dilancarkan pada 10 Julai lalu.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff, berkata angka itu mencatatkan peningkatan berbanding 11,277 kemalangan dan 185 kematian sehingga hari pertama Aidilfitri.

"Daripada 203 kes kematian yang direkodkan sehingga 18 Julai, sebahagian besar membabitkan motosikal iaitu 123 kes diikuti 51 kes membabitkan kereta," katanya.

Kematian jalan raya tertinggi dicatatkan Johor dengan 36 kes diikuti Selangor (29), Pahang (21) manakala Perak dan Kelantan, masing-masing 19 kes.

Mohd Fuad berkata, sebanyak 123,190 saman juga dikeluarkan polis setakat ini, yang membabitkan 61,940 kes memandu melebihi had laju, 2,781 kes memotong barisan dan 958 kes menyalahgunakan lorong kecemasan. - BERNAMA

Berita Harian X