Isnin, 20 Julai 2015 | 12:00am
SHAMSUL Bahri (kiri) dan Mustafa Man menunjukkan contoh gambar ikan untuk aplikasi MyDori. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Aplikasi kenali spesies ikan

NOR Aieni mencuba menggunakan aplikasi MyDori sambil diperhatikan Shamsul Bahri (kiri) dan Mustafa Man. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghasilkan aplikasi android, MyDori, untuk mengenal pasti jenis ikan menggunakan telefon pintar.

Inovasi itu dihasilkan pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT, Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak dan Pengurus Besar UMT Jaya Holdings Sdn Bhd, Prof Madya Dr Mustafa Man.

Shamsul Bahri berkata, aplikasi itu dibangunkan untuk memudahkan pengamal industri perikanan dan pengguna mengenali jenis ikan dan pelbagai maklumat lain berkaitan berdasarkan imej yang diperoleh melalui telefon pintar.

Pengguna yang mempunyai aplikasi MyDori dan pangkalan data jenis ikan yang boleh dimuat turun menerusi Google Play paling awal pada Disember ini hanya perlu merakam gambar ikan yang ingin dikenal pasti dan maklumat mengenainya akan dipamerkan pada skrin telefon bimbit mereka dalam tempoh kurang dua saat.

SHAMSUL Bahri menunjukkan aplikasi MyDori. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Katanya, pada peringkat awal ini, hanya empat jenis ikan berada dalam pangkalan data MyDori iaitu bawal, kerisi, kembung dan selayang.

"Penghasilan MyDori diharap menjadi pemangkin kepada penghasilan lebih banyak aplikasi berasaskan pengetahuan bagi mengimbangi lambakan aplikasi permainan yang melalaikan.

"Pangkalan data aplikasi ini akan sentiasa dikemas kini bagi memasukkan sebanyak mungkin maklumat terutama jenis ikan baharu," katanya pada sidang media inovasi UMT di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, aplikasi itu memanfaatkan teknologi pemprosesan imej digital dan konsep algorithma bagi memudahkan pengecaman spesies ikan.

Buat perbandingan

Katanya, perisian MyDori akan ditambah baik bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna, contohnya, mengenal pasti kesegaran ikan, harga jualan dan belian semasa yang akan dihubungkan secara terus kepada agensi pengawalan harga bagi memudahkan perbandingan serta membuat aduan.

Beliau berkata, maklumat seperti pemuliharaan spesies ikan terancam serta sumber tangkapan ikan juga akan dimasukkan untuk manfaat pengamal industri perikanan.

Mustafa tidak menolak kemungkinan aplikasi itu dibangunkan menggunakan plaform iOS dan Windows apabila mendapat sambutan kelak dan turut dikembangkan dalam bidang lain termasuk pengecaman jenis pokok bagi industri pertanian.

SHAMSUL Bahri (kanan) dan Mustafa Man menunjukkan anugerah ITEX yang dimenangi. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Aplikasi MyDori boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play.

Hanya pangkalan data yang dikemas kini akan dikenakan bayaran iaitu pada kadar minimum 50 sen bagi setiap imej baharu dimuat turun oleh pengguna.

"Jika ada pihak berminat membangunkan aplikasi MyDori mengikut spesifikasi mereka, perkhidmatan perundingan dan pembangunan sistem akan turut diberikan oleh UMT," katanya.

Naib Canselor UMT, Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar, berkata produk dihasilkan berasaskan bidang tujahan universiti dalam ilmu kelautan dan sumber akuatik itu contoh yang baik pendekatan integrasi teknologi dalam inovasi serta hasil gabungan kepakaran pensyarah berlainan bidang.

Berita Harian X