Isnin, 20 Julai 2015 | 10:50am
RINGGIT masih berupaya mengekalkan nilainya berbanding mata wang Eropah dan Jepun. - Foto AFP

Ringgit stabil berbanding mata wang negara maju

RINGGIT masih stabil berbanding mata wang negara maju lain meskipun mata wang tempatan itu kekal lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis berkata, kestabilan nilai ringgit berbanding mata wang utama lain itu secara langsung akan mengurangkan kesan inflasi import meskipun mata wang tempatan itu berada pada paras rendah berbanding dolar AS.

Ketua Penyelidik Ekuiti MIDF Research, Syed Muhammed Kifni Syed Kamaruddin, berkata dolar AS mula mengukuh berbanding mata wang utama lain khususnya berbanding mata wang negara maju utama, Kumpulan Tujuh (G7), pada Julai tahun lalu.

Berbanding ringgit pula, jelasnya, dolar AS mula mengukuh pada September tahun lalu.

Katanya, dalam tempoh Julai tahun lalu sehingga Mei lalu, pergerakan ringgit berbanding dolar AS hampir menyamai pergerakan mata wang negara G7 yang lain berbanding dolar AS.

Berupaya kekal nilai

"Meskipun ringgit lemah berbanding dolar AS, tetapi ringgit masih berupaya mengekalkan nilainya berbanding mata wang negara maju lain seperti Eropah dan Jepun. Keadaan ini memberikan pilihan kepada kita untuk mengalihkan pengimportan barangan berteknologi AS ke negara lain.

"Contohnya, kelemahan euro ketika ini juga memberi manfaat kepada Malaysia untuk mengimport produk berteknologi tinggi pada harga yang kompetitif," katanya kepada BH semalam.

Syed Muhammed Kifni berkata, keadaan sedemikian juga adalah berbeza jika dibandingkan dengan situasi yang berlaku ketika krisis kewangan Asia 1997/1998.

Beliau berkata, pada ketika itu, ringgit jatuh teruk berbanding dolar AS, sementara mata wang G7 yang lain kekal kukuh berbanding dolar AS.

Keadaan sedemikian menyebabkan ringgit merosot berbanding mata wang G7 yang lain, sekali gus meningkatkan kesan inflasi import, katanya.

Naikkan daya saing eksport

Syed Muhammed Kifni berkata, kemerosotan ringgit berbanding mata wang serantau lain seperti Thailand ketika ini juga menaikkan daya saing eksport negara memandangkan negara ini adalah pengeksport ke-17 terbesar di dunia.

Beliau berkata, prospek ringgit kekal tidak menentu memandangkan ketidaktentuan faktor luaran seperti kemungkinan Greece keluar daripada zon euro, kenaikan kadar faedah AS dan harga komoditi yang rendah.

Berita Harian X