Selasa, 21 Julai 2015 | 12:06am

Hazama belum bersedia untuk kahwin


KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon, Hazama mengakui beliau menggunakan kisah hidupnya untuk dijadikan panduan bagi menghayati lagu-lagu yang dipopularkan olehnya.

Pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi adalah penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kesembilan itu mempunyai keunikan vokal tersendiri dan dibantu dengan bait-bait lagu yang meruntun jiwa telah berjaya mendapat tempat di hati peminat muzik tempatan.

"Benar saya menjadikan kisah percintaan sebelum ini dan sekarang untuk dijadikan panduan bagi saya memberikan sepenuh penghayatan kepada lagu yang dinyanyikan.

PENYANYI dan pelakon, Hazama. - Foto Aziah Azmee

"Saya percaya apabila kita menyanyikan sesebuah lagu itu dengan penuh penghayatan, pendengar juga turut sama dapat merasai apa yang ingin kita sampaikan.

"Oleh itu ketika proses merakamkan lagu sedang dijalankan, saya perlu memberikan sepenuh fokus dan mengenepikan perkara yang tidak mempunyai hubung kait ketika berada di studio," ujar Hazama kepada BH PLUS.

Sementara itu, Hazama turut berkongsi mengenai single terbarunya berjudul Sampai Mati yang mengisahkan mengenai seorang lelaki cuba meyakinkan kekasihnya bahawa dia adalah terbaik untuknya. Hazama mengakui mudah untuk bekerjasama dengan komposer Omar K kerana ini bukan kali pertama mereka berkolaborasi bersama.

HAZAMA membuat persembahan pada konsert Aku, Dia dan Lagu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Jejaka berusia 31 tahun itu masih mempunyai impian yang belum dikecapinya lagi dalam persada seni sebelum berkahwin. Beliau tidak tertekan biarpun masih bujang walaupun kebanyakan teman rapatnya sudah berumah tangga.

Tambah Hazama, beliau belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga dengan teman wanitanya, Genervie Kam. Menurutnya, beliau memerlukan lebih masa kerana banyak perkara perlu diberi pertimbangan sebelum membuat sebarang keputusan.

'Memang saya akan berkahwin namun bukanlah dalam jangka masa terdekat ini. Saya belum bersedia dari segi hati dan belum membuat sebarang perancangan untuk ke peringkat seterusnya.

HAZAMA belum berfikir untuk menamatkan zaman bujang berikutan banyak impian dalam kerjaya seni yang belum dicapai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Apabila Tuhan membuka pintu hati, Insya-Allah saya akan berkahwin. Lagipun, sudah bercinta bertahun-tahun takkan kita tidak ingin berkahwin pula kan.

""Saya tidak tertekan pun dengan isu kahwin kerana bagi saya tidak perlu terburu-buru kerana jodoh ditentukan oleh Allah. Mungkin ada hikmah kenapa saya belum sampai seru untuk berkahwin lagi," kata Hazama.

Dalam perkembangan lain, Hazama berkata sepanjang bulan Ramadan beliau akan terlibat dengan beberapa majlis berbuka puasa bersama peminat selain beberapa persembahan istimewa sempena Syawal.

HAZAMA tidak mahu terburu-buru berumah tangga. - Foto Zunnur Al Shafiq

Berita Harian X