Selasa, 21 Julai 2015 | 12:33pm
RAKAN Apolos sebak ketika memberikan penghormatan terakhir. - Foto ihsan JBPM Sabah
RAKAN Apolos sebak ketika memberikan penghormatan terakhir. - Foto ihsan JBPM Sabah

Tangani isu pendawaian haram - Bomba Sabah

ANGGOTA keluarga mangsa memberikan penghormatan terakhir kepada Apolos hari ini. - Foto ihsan JBPM Sabah
ANGGOTA keluarga mangsa memberikan penghormatan terakhir kepada Apolos hari ini. - Foto ihsan JBPM Sabah

SANDAKAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menggesa semua pihak berkaitan mengambil langkah sewajarnya menangani isu pendawaian haram membabitkan setinggan di negeri ini.

Pengarahnya, Nordin Pauzi, berkata kewujudan kabel elektrik yang disambung secara haram dalam belukar amat sukar dikesan sekali gus menjadi jerangkap maut sehingga mengorbankan seorang anggota bomba dalam operasi memadam kebakaran di sini, semalam.

"Anggota terbabit terkena renjatan elektrik dipercayai daripada pendawaian haram yang disambung untuk kegunaan sekelompok rumah setinggan.

"Biarpun anggota bomba dilengkapi dengan prosedur dan sentiasa mengambil langkah keselamatan tertinggi, tetapi terpaksa berdepan cabaran ini disebabkan isu penyambungan haram oleh kawasan setinggan," katanya dalam sidang media di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian jam 4.20 petang semalam, anggota bomba, Apolos Jeremos, 25, maut terkena renjatan elektrik dipercayai berpunca daripada pendawaian haram ketika operasi memadam kebakaran belukar seluas tiga hektar di Taman Kenari, Batu 7.

APOLOS Jeremos. - Foto ihsan JBPM Sabah
APOLOS Jeremos. - Foto ihsan JBPM Sabah

ANGGOTA bomba memberikan tabik hormat ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Apolos Jeremos. - Foto ihsan JBPM Sabah
ANGGOTA bomba memberikan tabik hormat ketika hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Apolos Jeremos. - Foto ihsan JBPM Sabah

Nordin berkata, insiden itu adalah kehilangan besar kepada Bomba Sabah kerana mangsa adalah anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) yang turut terbabit dalam Ops Gempa di Ranau, baru-baru ini.

Dalam hal kebajikan kepada waris dan keluarga mangsa, katanya, pihaknya berusaha menyediakan bantuan termasuk kelayakan ex-gratia daripada Kumpulan Wang Kebajikan Bomba.

"Kita amat bersedih dengan pemergian anggota terbabit kerana dia seorang pegawai muda yang dedikasi dan amat komited dalam menjalankan tugas," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X