Selasa, 21 Julai 2015 | 1:20pm

Penunggang jatuh ke jalan maut dirempuh kereta

GEORGETOWN: Seorang lelaki berusia 24 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Thean Teik di sini, pagi tadi.

Dalam nahas itu jam 7.20 pagi, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Lorong Batu Lanchang di sini, dipercayai merempuh sebuah motosikal yang ditunggang warga emas berusia 64 tahun yang sedang membelok ke arah Pasar Farlim di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata akibat pelanggaran itu mangsa jatuh sebelum sebuah kereta yang datang dari arah Lorong Batu Lanchang melanggar mangsa di atas jalan.

"Siasatan lanjut mendapati lelaki berusia 64 tahun itu patah paha kiri manakala pemandu kereta berusia 31 tahun tidak cedera.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat dan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan," katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan cuai sehingga mengakibatkan kematian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Berita Harian X