Sabtu, 20 September 2014 | 1:32pm

Dua konsert berlangsung serentak malam ini dan esok

KOIR Kebangsaan Malaysia akan menggegarkan Auditorium DBKL malam ini dan esok. - Foto Zunnur Al Shafiq
KOIR Kebangsaan Malaysia akan menggegarkan Auditorium DBKL malam ini dan esok. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Dua konsert berlangsung malam ini dan esok, di dua lokasi berbeza untuk hiburan pengunjung. Konsert Akustika II dan Konsert Malaysia Tanah Airku berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas manakala Konsert Koir Kebangsaan Malaysia Klasikal di Auditorium DBKL.

Dua konsert di Dewan Filharmonik Petronas (DFP)itu dianjurkan bersempena DFP Seni Fest. Terlebih dulu Konsert Akustika I berlangsung 16 September lalu pada sambutan Hari Malaysia manakala Konsert Koir Kebangsaan Malaysia Klasikal menjadi kesinambungan konsert yang pernah dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Akustika II menampilkan Hujan, Fredo, Jay Jay, Elvira Arul, David Gomes, Bunkface, Atilia, Ning Baizura dan Zainal Abidin. Konsert ini bermula dari siang hingga ke malam. Konsert Malaysia Tanah Airku pula menampilkan Datuk M Nasir, Datuk Yusni Hamid, Nasir Wahab dan Datin Alyah.

DATUK M Nasir turut memeriahkan Konsert Malaysia Tanah Airku di DFP. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
DATUK M Nasir turut memeriahkan Konsert Malaysia Tanah Airku di DFP. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Konsert Koir Kebangsaan pula bertemakan klasikal memaparkan repertoire dan segmen nyanyian lagu berlandaskan klasik seperti lagu asli Melayu, inang, joget, keroncong serta zapin, dan juga Klasik Barat terdiri daripada lagu dari era Renaissance hingga ke era romantik.

Syafinaz Selamat bertindak sebagai Jurulatih Vokal, Pengarah Persembahan dan Vokal serta dibantu Pengarah Koir Kebangsaan, Tunku Marina Tunku Datuk Zubir. Dua konsert di DFP dan Auditorium DBKL ini akan berlangsung jam 8.30 malam.

Untuk tempahan tiket Konsert di DFP boleh hubungi 03-20517007, [email protected]ronas.com.my (emel) atau layari www.mpo.com.my. Tiket menonton konsert Koir Kebangsaan Malaysia Klasikal pula boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz pada harga RM10, RM20 dan RM30.

Diskaun turut akan diberikan kepada pelajar, warga emas dan orang kurang upaya (OKU). Tiket juga boleh dibeli di Istana Budaya dengan menghubungi 03-41498600. Pihak urusetia turut menyediakan khidmat pembelian tiket sebelum malam konsert berlangsung pada 21 dan 22 September ini di Auditorium DBKL bermula jam 4 petang.

Berita Harian X