Selasa, 21 Julai 2015 | 8:25pm

Aliran trafik di beberapa lebuh raya semakin perlahan

ALIRAN trafik di Lebuhraya Utara Selatan mengalami kesesakan teruk dari arah Seberang Jaya menuju ke Tol Juru kerana orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas menyambut hari raya Aidilfitri . - Foto Amir Irsyad Omar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama didapati perlahan setakat 6.30 petang berikutan orang ramai mulai pulang dari cuti panjang Aidilfitri.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Projek Lebuhraya Utara-Selatan berkata trafik sibuk di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara mulai Permatang Pauh menuju Prai, Changkat Jering ke Bukit Berapit, Kuala Kangsar ke Terowong Menora, Ipoh ke Gopeng dan Tapah ke Sungkai.

Sementara dari selatan, tiada kesesakan dilaporkan dengan trafik berjalan lancar dari kedua-dua arah, katanya.

Trafik juga didapati perlahan dari arah Subang Jaya menuju Shah Alam di Lebuhraya Elite akibat sebuah lori terbabas.

Sementara itu jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pertambahan kenderaan menyebabkan aliran trafik perlahan sebelum dan selepas Plaza Tol Kuala Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur 2 serta dari Bentong ke Karak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Trafik juga perlahan selepas Plaza Tol Gombak menuju persimpangan pusat bandar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. - BERNAMA

Berita Harian X