Khamis, 23 Julai 2015 | 10:42am

'Pay-Tapak' mudahkan pemilik kenderaan bayar kompaun

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan inovasi baharu 'Pay-Tapak' yang memberi peluang kepada pemilik kenderaan yang ditunda membayar kompaun terus kepada anggota penguatkuasa.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti MBSA, Shahrin Ahmad, berkata pelaksanaan 'Pay-Tapak' atau Pembayaran Penguatkuasaan Tunda di Tapak, membolehkan pemilik membuat pembayaran di tapak semasa proses tunda kenderaan dijalankan.

Beliau berkata, sistem baharu Bahagian Penguatkuasaan MBSA ini bertujuan memudahkan pemilik kenderaan membuat tuntutan pelepasan serta-merta selepas pembayaran di tapak dilakukan.

"Kaedah ini memudahkan pengguna jalan raya yang sempat datang ketika kenderaan mereka ditunda oleh penguatkuasa untuk membayar terus kompaun. Jika tidak, mereka terpaksa buat bayaran sama ada di Wisma MBSA atau di bengkel MBSA di Seksyen 17 di sini yang menempatkan kenderaan yang ditunda.

"Kadar bayaran menerusi 'Pay-Tapak' juga lebih rendah iaitu RM100 berbanding kadar bayaran penundaan sedia ada RM270," katanya kepada Bernama.

Menurut Shahrin, melalui kaedah 'Pay-Tapak' yang diperkenalkan bahagian penguatkuasaan MBSA pada 2014, berjaya mengumpul RM77,300 pada tahun berkenaan.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, beliau berkata pihak berkuasa tempatan itu mengumpul RM19,600 melalui kaedah berkenaan.

Shahrin berkata, waktu operasi penundaan ialah dari 8 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali Sabtu, Ahad dan cuti umum.

"Bagaimanapun bagi Sabtu, Ahad dan cuti umum, jika semasa rondaan anggota penguatkuasa mendapati kenderaan diletakkan di tepi jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, tindakan penundaan akan dilakukan," katanya.

- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X