X
Khamis, 23 Julai 2015 | 4:18pm

Afdlin Shauki, Faizal Tahir penyokong tegar Liverpool

Afdlin Shauki
Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak Afdlin Shauki teruja dengan kehadiran pasukan terkenal Liga Perdana Inggeris, Liverpool FC ke Malaysia buat kali kedua sempena jelajah pra-musim menentang pasukan pilihan Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.

Afdlin berkata, dia adalah peminat setia pasukan Liverpool sejak berumur 12 tahun lagi dan kesempatan menyaksikan dari dekat pasukan itu tidak akan dilepaskannya.

"Saya akan ke stadium esok bersama dengan rakan-rakan rapat. Saya adalah peminat tegar Liverpool sejak dulu kerana kelincahan mereka beraksi di padang.

"Saya tidak ingin melepaskan peluang menonton pra-musim iaitu tempoh penting buat pasukan dalam rangka persiapan bagi musim akan datang dan perlawanan menentang pasukan Pilihan Malaysia menjanjikan sesuatu yang menarik.

"Walaupun mempunyai prestasi permainan yang tidak menentu, sebagai penyokong tegar, saya tetap tidak berpaling tadah. Penyokong Liverpool tahu erti kekalahan dan banyak bersabar," kata Afdlin kepada BH Online.

Tambah Afdlin, tindakan pasukan Liverpool mengunjungi keluarga juruterbang nahas MH370 turut membuatkannya terharu. Bagi Afdlin, ia membuktikan kehadiran pasukan terkenal itu bukan sekadar beraksi menentang pasukan pilihan Malaysia sebaliknya turut beramal pada masa sama.

Penyanyi Faizal Tahir pula begitu bersemangat menyambut kehadiran pasukan Liverpool bersama anak-anaknya.

Pelantun lagu Assalamualaikum itu kelihatan sedondon menggayakan jersi merah Liverpool bersama dua anak lelakinya. Dia turut memuat naik gambar 'selfie' bersama seorang pemain Liverpool iaitu Alberto Moreno.

"Terima kasih atas kunjungan anda (Liverpool) ke Malaysia. Saya bangga menjadi sebahagian daripada keluarga Liverpool. Kehadiran anda ke Malaysia berjaya membuatkan anak-anak saya begitu teruja dan sukar untuk diungkapkan dengan perkataan.

"Jelajah ini memberikan semua peminat berada lebih dekat pemain kedua-dua pasukan," tulis Faizal di Instagram.

Bapa kepada lima orang cahaya mata itu juga menganggap kedatangan Liverpool seolah-olah kepulangan antara kelab terhebat dunia itu ke Kuala Lumpur.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X