Sabtu, 20 September 2014 | 4:24pm

Mat Ismail gigih komersialkan produk budu


PEMILIK Perusahaan Warisan Ketereh Ismail Jusoh, 63, (kiri) turut membantu pekerja-pekerjanya menyiapkan botol-botol yang telah diisi dengan budu sebelum dihantar ke pengusaha kedai makan dan kedai runcit. - Foto BERNAMA

TUMPAT: Pengalaman tidak dibenarkan menaiki pesawat komersil untuk ke China dua tahun lalu gara-gara membawa sebotol budu berjaya memberi inspirasi kepada pengusaha makanan berkenaan, Mat Ismail Jusoh, 63 untuk mengkomersialkan produk keluarannya.

Jika sebelum ini kilangnya yang terletak di Kampung Ketil, Pengkalan Kubor di sini hanya mengeluarkan produk budu dalam botol, kini selepas melalui transformasi, pakej baru budu berasaskan kiub berjaya dihasilkan.

"Nampak lebih cantik, boleh bawa ke mana-mana termasuk ke luar negara. Dulu Pak Cik susah nak bawa (budu dalam botol) ke luar negara, pernah kena tahan masa nak pergi ke China sebab bawa budu.

"Daripada situ (peristiwa dilarang menaiki pesawat komersil), Pak Cik dapat idea macam mana nak komersilkan produk terbaru ini," katanya ketika ditemui media di kilangnya di sini, hari ini.

Memulakan perniagaan berkenaan secara kecil-kecilan pada 1984, kini, bapa kepada lapan anak ini boleh berasa bangga atas usahanya apabila hasil jualan budunya bukan saja mendapat permintaan tinggi dalam negara, malah akan dieksport ke luar negara dalam tempoh terdekat.


PEKERJA-PEKERJA Perusahaan Warisan Ketereh menyiapkan botol-botol yang telah diisi dengan budu sebelum dilabelkan dan dihantar ke pengusaha kedai makan dan kedai runcit. - Foto BERNAMA

Mat Ismail mengakui, permintaan dalam negara terutama dari Terengganu dan Kuala Lumpur sangat menggalakkan, selain masyarakat setempat.

Beliau berkata, kira-kira 5,000 dozen atau 60,000 botol budu dihasilkan kilangnya setiap hari, dengan jumlah keluaran tahunan mencecah lebih 10 juta botol.

"Sekarang di kilang ini ada 80 pekerja yang hari-hari buat budu. Perniagaan ini juga berjaya membantu masyarakat setempat terutama anak muda mencari rezeki dan pendapatan," katanya.

Dua produk utama dihasilkan kilang Mat Ismail iaitu budu botol pelbagai perisa yang dijual pada harga RM10 bagi setiap dozen atau RM0.80 sebotol serta kiub budu atau pati ikan bilis pada harga RM13 bagi setiap dozen atau RM1 untuk satu kiub.

Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed melakukan lawatan ke kilangnya sempena Majlis Perasmian Pelancaran produk baru budu Cap Ketereh keluaran kilang Mat Ismail, di sini.

Menceritakan rahsia kejayaannya, Mat Ismail atau nama gelarannya Pok Wil di kalangan penduduk setempat berkata kerja kuat, jujur, tidak sombong dan amanah menjadi resipi kejayaan beliau selama ini.

Bagi memastikan produknya kekal lama, Pok Wil berkata bahan utama iaitu ikan bilis perlu dipastikan segar sebelum diproses bersama garam, cili, asam jawa dan air manisan untuk menjadi budu.

Dalam pada itu, Mustapa yang ditemui media sebelum itu memaklumkan kementeriannya sedang berusaha membantu perniagaan Mat Ismail dalam memasarkan produk berkenaan ke beberapa negara termasuk Arab Saudi, Dubai serta Singapura, termasuk sedia menyediakan pinjaman melalui SME Bank.

Berita Harian X