Jumaat, 24 Julai 2015 | 2:53am

Misi memperkasa transformasi GLC berhasil

Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia sering mendapat liputan media utama antarabangsa, testimoni penting terhadap kedudukannya yang semakin berpengaruh dalam perkembangan ekonomi negara dan dunia.

Dengan kehadiran global di lebih 42 negara, aktiviti ekonomi GLIC dan 20 syarikat GLC utama (G20) bawah Program Transformasi GLC Program (GLCT) giat berkembang dengan keuntungan bersih meningkat kepada RM26.2b pada TK2014 daripada RM9.9b pada TK2004.

Prestasi pertumbuhan memberangsangkan G20 dikukuhkan lagi limpahan manfaat kepada rakyat dan persekitaran komuniti perniagaan tempatan antara bukti ampuh kejayaan evolusi penting yang dilaksanakan kerajaan menerusi Program GLCT.

Program 10 tahun yang diperkenalkan sejak tahun 2004 itu, dirangka untuk mentransformasi GLC terpilih kepada entiti berprestasi tinggi dan menjadi pemangkin memba-ngunkan sektor strategik negara bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan sosial Malaysia.

Idea GLCT tercetus apabila GLC mengharungi prestasi kewangan dan operasi yang lemah, terlalu bergantung kepada kerajaan dan ketinggalan daripada pertumbuhan rancak ekonomi negara kerana kebanyakannya mengalami proses pemulihan ekoran krisis kewangan Asia 1997.

Justeru, Sekretariat Jawatankuasa Putrajaya bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG) ditubuhkan pada Januari 2005 untuk menerajui Program GLCT yang mana ia diwakili lima GLIC, iaitu Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Lembaga Tabung Haji (TH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

PCG diberikan mandat untuk membangunkan rangka kerja, melaksana dan memantau polisi yang dapat mentrasformasi GLC di bawah tanggungjawab masing-masing kepada entiti berprestasi tinggi berpandukan inisiatif GLCT yang meliputi tiga prinsip dan lima polisi pendorong.

Kesungguhan kerajaan melaksanakan program transformasi itu diperteguhkan dengan kedudukan Perdana Menteri sebagai Pengerusi PCG, manakala Khazanah sebagai sekretariat yang menggerakkan aktiviti wakil GLIC di bawah PCG Joint Working Team (JWT).

Hasilnya, sehingga 2014, program tersebut terbukti berjaya membawakan perubahan ketara dalam corak pentadbiran serta penguasaan perniagaan G20 dan GLIC, sekali gus melahirkan ikon peneraju serantau dengan keupayaan daya saing setanding gergasi industri di peringkat global.

Puas hati prestasi G20

Menyelusuri perjalanan 10 tahun transformasi GLC, Pengarah Eksekutif, Projek Khas, Pejabat Pengarah Urusan Khazanah, Mohd Izani Ashari, berkata sekreteriat ber-puas hati dengan prestasi G20 yang kini berjaya membuktikan mereka bukan lagi menjadi liabiliti tetapi aset kepada GLIC.

Katanya, ia terbukti dengan dividen yang dibayar G20 kepada pemegang kepentingannya kini mencecah RM108.6 bilion sepanjang tempoh program sehingga tahun lalu, dengan nilai pembayaran cukai mencecah RM62.7 bilion.

"Pemegang kepentingan ini meliputi banyak pihak, iaitu pelanggan, usahawan, pekerja, komuniti vendor dan masyarakat umum, kerana itu agenda memperkasakan GLC penting kepada rakyat dan negara secara keseluruhannya," katanya kepada BH di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Justeru, katanya, walaupun selepas program selesai lembaga pengarah dan GLIC yang menguruskan GLC masing-masing tidak seharusnya membiarkan pencapaian statik setakat itu.

Beliau yang juga antara individu yang terbabit sejak awal program diperkenalkan pada tahun 2004 berkata, selepas proses 'graduasi' GLC, GLIC bersama lembaga penga-rah perlu menjadi tunjang dalam merencanakan masa depan untuk memastikan mereka terus berkembang.

"Walaupun selepas GLCT selesai, Ketua Eksekutif bersetuju untuk mengadakan pertemuan setahun sekali dengan Perdana Menteri supaya dapat mengekalkan momentum dan semangat transformasi kerana kita masih ada Wawasan 2020 untuk dicapai," katanya.

Amalan terbaik korporat

Pandangan sama dikongsi Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman yang berpendapat Inisiatif yang diperkenalkan dibawah GLCT tidak seharusnya ditinggalkan begitu sahaja selepas tamatnya program GLCT.

Beliau berkata, banyak usaha positif sudah dijalankan sepanjang tempoh 10 tahun seperti pengumpulan data dan analisis bagi pe-ngukuran tanda aras prestasi GLC serta perkongsian amalan terbaik korporat.

"Secara umumnya, setiap GLIC yang terbabit dalam program GLCT, mempunyai mandat atau objektif tersendiri yang tersemat sejak penubuhan masing-masing sebelum program GLCT dimulakan.

"Misalnya, PNB ditubuhkan pada tahun 1978 sebagai satu jentera men-struktur semula ketidakseimbangan ekonomi dengan meningkatkan pemilikan ekuiti korporat dalam kalangan Bumiputera serta menggembleng simpanan masyarakat Bumiputera melalui tabung unit amanah dalam menjamin perkongsian kekayaan korporat

"Justeru, bagi PNB, pencapaian prestasi yang tinggi sentiasa ditekankan kepada syarikat pelaburannya bagi memastikan tabung unit amanah PNB mampu memberi pulangan pelaburan kompetitif secara berterusan kepada pelanggan," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya prestasi GLC diukur dari pelbagai segi, termasuk peningkatan keuntungan, pengisytiharan dividen dan nilai pasaran kolektif GLC yang mana G20 berjaya peningkatan keuntungan bersih RM16.3 bilion sepanjang GLCT, atau purata pertumbuhan 10.2 peratus setahun.

Katanya, kayu ukur itu menunjukkan perkembangan memberangsangkan berdasarkan persekitaran semasa yang mencabar sejajar objektif GLCT sebagai suatu instrumen mempercepatkan pemulihan dan pembangunan syarikat terbabit untuk terus maju ke hadapan.

Perubahan budaya

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata antara cabaran Program Transformasi GLC adalah dari segi perubahan budaya memandangkan setiap satunya mempunyai sejarah serta latar belakang berlainan.

Sedekad lalu, katanya, kebanyakan GLC masih terikat dengan peraturan berkaitan kerajaan yang menyebabkan tumpuan diberikan supaya budaya mereka diubah kepada lebih menggambarkan sebuah korporat atau perusahaan swasta, manakala sesetengahnya pula bermula dengan hala tuju berlawanan, iaitu bermula sebagai syarikat yang dipacu oleh daya keusahawanan dan dipimpin oleh usahawan tulen.

"Peranan KWSP adalah untuk menyokong pembinaan prinsip yang sekata dalam kalangan GLC. Bagaimana syarikat terbabit mahu melaksanakan prinsip berkenaan adalah terpulang kepada mereka. Pendirian KWSP adalah anda tidak boleh mengenakan standard tunggal ke atas semua pihak.

"Namun, ada sesetengah prinsip yang perlu difahami oleh syarikat, termasuk tadbir urus korporat, integriti dan menjalankan perniagaan secara beretika. Proses yang sebenarnya terserah kepada syarikat terbabit, namun mereka perlu mencari keseimbangan yang membolehkan keputusan perniagaan wajar mampu dicapai," katanya.

Bahkan bagi KWSP, Shahril berkata, pihaknya berusaha keras untuk memastikan GLC di bawah tanggungjawabnya, iaitu Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) mengikut kod tadbir urus serta standard yang ditetapkan sekretariat.

Katanya, komunikasi dengan GLC secara berterusan di samping serius memperbetulkan salah laku dalam amalan perniagaan syarikat berkenaan, akan membolehkan matlamat yang diterapkan di bawah Program Transformasi GLC dapat dicapai.

"Langkah ini dilaksanakan secara berterusan, setiap tahun. Selain mengadakan taklimat penga-nalisis, kami juga menga-dakan pertemuan di pengurusan kanan syarikat sama ada di peringkat domestik atau luar negara bagi membincangkan me-ngenai operasi perniagaan, strategi serta apakah perkara yang boleh dibantu," katanya.

Jaguh global, CSR

Berkongsi pandangan, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Ismee Ismail, berkata pihaknya sebagai perwakilan GLIC dalam PCG turut sama dengan rakan GLIC yang lain membantu membentuk rangka kerja, garis panduan dan strategi mengenai Program Transformasi GLC. Justeru, pihak Khazanah sebagai Urusetia Program Tranformasi GLC perlu diberikan pujian di atas segala usaha yang dilakukan selama ini untuk menge-rakkan program transformasi ini dengan jayanya.

Secara asasnya, katanya, program Transformasi GLC mempunyai prinsip, inisiatif dan dasar tersendiri yang mampu memperkasakan kedudukan GLIC dan GLC sebagai penggerak utama ekonomi negara serta masyarakat secara umumnya.

"Secara khususnya peranan TH sebagai GLIC adalah mengolah dasar dan inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh dua GLC di bawah kami, iaitu BIMB Holdings Bhd dan TH Plantation Bhd.

"Pada masa sama, TH juga cuba mengambil segala amalan terbaik yang terkandung di dalam 10 initiatif utama progam transformasi ini untuk dijadikan sebahagian dari amalan biasa oleh semua anak syarikat lain di bawah TH," katanya.

Ismee berkata, sebagai syarikat induk kepada syarikat-syarikat milikannya, TH bertanggungjawab memantau dan memastikan semua inisiatif yang dirancang oleh pihak urusetia PCG ini dilaksanakan dengan jayanya mengikut acuan TH dan memberi impak positif kepada perkembangan keseluruhannya.

"Dari segi prestasi syarikat, diakui ada pasang surutnya, namun yang mustahak adalah jenama syarikat berkenaan. Suatu ketika dahulu kita melihat banyak GLC yang menjadi 'jaguh kampung', maka salah satu objektif transformasi adalah untuk melonjakkan syarikat berkenaan sebagai peserta global.

"Begitupun, ada kalanya kita juga perlu memilih iaitu sesetengah perniagaan mesti dikekalkan status sebagai peneraju pasaran domestik. Sebahagian entiti lain pula perlu menjadi peserta global," katanya.

Beliau menambah, peranan GLC kepada masyarakat perlu disemarakkan menerusi pelaksanaan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai salah satu penanda aras penting kepada transformasi GLC secara keseluruhannya.

Organisasi dinamik

Sementara itu, Ketua Eksekutif LTAT, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, berkata, seperti mana GLIC yang lain, LTAT menghormati dan menyokong penuh inisiatif yang dirangka menerusi GLCT dengan harapan ia mampu melonjakkan LTAT sebagai sebuah organisasi dinamik dan berorientasikan korporat.

Katanya, hasil kejayaan yang dicapai kini berpandukan kepada 10 inisiatif teras GLCT merangkumi usaha mempertingkatkan keberkesanan lembaga pengarah, tadbir urus korporat GLC dan GLIC, menambah baik sistem perundangan dan menge-nal pasti tanggungjawab kepada masyarakat.

Antara lain, katanya, LTAT turut melaksanakan inisiatif mengkaji semula dan menambah baik aset pemilikan, meningkatkan kecekapan pengurusan modal, me-
mantapkan pengurusan modal insan, meningkatkan prestasi pengu-rusan dan melonjakkan keberhasilan operasi.

"Hasil pelaksanaan semua inisiatif GLCT yang relevan dengan LTAT, kami kini semakin kukuh dan berdaya tahan. Hasilnya bagi tahun kewangan 2014, untuk kali pertama kami berjaya merekodkan keuntu-ngan melebihi RM1 bilion.

"Namun, kami memahami untuk mengekalkan prestasi ini bukannya mudah kerana ia memerlukan kesungguhan melaksanakan perubahan walaupun kadangkala berhadapan proses membuat keputusan yang sukar," katanya.

Bagi tujuan itu, beliau berkata, LTAT akan meneruskan agendanya membawa GLC ke tahap prestasi yang baharu dan keluar daripada tahap biasa kepada luar biasa dalam hasrat untuk menjadi peneraju industri di peringkat global.

Katanya, lembaga pengarah bersama-sama panel pelaburan dan pengurusan LTAT komited untuk lebih proaktif mengenal pasti peluang pelaburan yang menguntungkan.

"LTAT sentiasa meletakkan sasaran tinggi dan berusaha keras untuk memenuhi komitmen kami menerusi prestasi kewangan yang kukuh dan kelebihan daya saing yang tinggi.

"Menerusi pelaksanaan pengu-rusan korporat terbaik, inisiatif tanggung jawab sosial, pengurusan aset serta pelaburan yang lebih cekap dengan berpandukan model GLCT, kami berharap ia dapat memberi pulangan lebih konsisten kepada pencarum LTAT," katanya.

Secara kesimpulannya, testimoni daripada kelima-lima GLIC berhu-bung kejayaan yang dikecapi selepas melalui 10 tahun proses transformasi itu benar-benar menunjukkan GLCT adalah satu model berjaya yang harus dipandang tinggi dan dicontohi GLC lain, tidak kira di bawah kerajaan Persekutuan atau negeri.

Yang pasti, sekiranya 22 syarikat ini berjaya melonjak dan memiliki prestasi setanding gergasi industri global, maka kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan untuk meluaskan model ini kepada peserta GLC yang lain, demi menjamin hasrat Malaysia mencapai sasaran negara maju menjela

Berita Harian X