Sabtu, 25 Julai 2015 | 11:59am

EPL: Wenger nafi Arsenal miliki RM1.18 bilion beli pemain


PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger. - Foto REUTERS

LONDON: Arsene Wenger menafikan kenyataan Pengarah Arsenal, Lord Harris betapa kelab itu kini mampu membeli mana-mana pemain dunia.

Selepas beberapa tahun mengamalkan penjimatan perbelanjaan di pasaran perpindahan berikutan kos tinggi berpindah ke Stadium Emirates, Harris pada minggu ini dilaporkan berkata, Arsenal kini mempunyai lebih STG200 juta (RM1.18 bilion) bagi membolehkan Wenger memperkukuhkan skuadnya.

Harris mendakwa hanya pemain Barcelona, Lionel Messi dan bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo di luar kemampuan Arsenal dan dalam masa sama menyokong Wenger untuk memecahkan rekod pembelian Mesut Ozil daripada Real Madrid pada 2013 yang bernilai STG42.5 juta (RM251.1 juta)

Wenger yang setakat ini hanya membeli penjaga gol Chelsea, Petr Cech pada harga STG11 juta (RM65 juta) di penghujung musim, menyifatkan kenyataan Harris itu sebagai terlebih.

"Dia sudah melampau. Ia tidak benar," kata Wenger.

"Lawan kami, jika mereka mahu, memiliki wang sebanyak itu untuk berbelanja. Jadi ia bukan sesuatu yang luar biasa, dan wang dalam bank itu bukan bermakna ia adalah keuntungan.

"Kami kehilangan wang sepanjang enam bulan lalu.

"Anda boleh muflis dan memiliki wang sebanyak STG200 juta (RM1.18 bilion) di bank. Jika anda memiliki STG500 juta (RM2.9 bilion) untuk dibelanjakan tiga minggu kemudian, anda perlu mencari STG300 juta (RM1.7 bilion),".

Wenger sebelum ini dikaitkan dengan pembelain beberapa pemain sejak pada penghujung musim termasuk terbaharu, penyerang Real Madrid, Karim Benzema dan peledak Juventus, Fernando Llorente dalam senarai pembelian yang dikehendakinya.

"Minggu lalu, saya kena menjawab soalan mengenai apakah yang saya akan lakukan dengan semua pemain yang ada dan pada minggu kemudiannya pula, saya akan ditanya, kenapa tidak beli pemain?

"Minggu lalu, kami menjaringkan gol tanpa (Alexis) Sanchez dan (Danny) Welbeck. Kami berada pada kedudukan kukuh dengan skuad mantap, dan saya gembira dengannya. Jika ada peluang yang muncul, kami masih boleh berbuat sesuatu,". - AFP

248 dibaca
Berita Harian X