Isnin, 27 Julai 2015 | 12:25am

Fizz Fairus sayang Almy Nadia 100 peratus


KUALA LUMPUR: Kasih seorang suami terhadap isteri adalah sesuatu yang terlalu mendalam untuk digambarkan dan sukar diperkatakan secara zahir.

Bagi aktor, Fizz Fairuz, susuk badan isterinya, Almy Nadia ketika ini tidak perlu dijadikan ukuran apabila memperkatakan soal kasih sayang pada ketika pasangan berkenaan melayari bahtera perkahwinan.

Sebaliknya, Fizz menaruh keyakinan terhadap kemampuan isteri tersayang dan sentiasa menyokong apa sahaja yang dilakukan isterinya itu termasuklah dalam soal menguruskan berat badan.

"Saya nampak apa yang diusahakannya. Ikutkan nak raya ini memang dia nak kurus. Ironinya dia sudah kurangkan berat badan sebanyak 25 kilogram. Itu satu pencapaian terbaik buatnya dan jumlah pengurangan itu boleh dikatakan banyak.

"Insya-Allah selepas raya, dia akan habis-habisan bersenam dan jaga makan untuk memastikan misinya berjaya.

FIZZ Fairuz bersama isteri Almy Nadia dan anak mereka Nur Afrina Arianna. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Saya akan sokong 100 peratus dalam apa juga yang ingin dilakukan. Kalau dia yakin boleh dapat badan macam anak dara, saya optimis di belakangnya," katanya.

Ditanya mengenai situasi Almy dilihat berdepan dengan ancaman jika tak menjaga badan di saat dirinya masih segak dan tampan, Fizz mempunyai pandangan konkritnya tersendiri.

"Semua itu berbalik atas naluri seseorang. Kita menilai seseorang pada zahirnya. Sebaliknya nilai pada batinnya. Luarannya mungkin nampak saya ini seperti bersosial. Saya akui diri ini suka berkawan dengan ramai orang. Tapi secara batin semuanya berbalik kepada nawaitu kita. Kalau betul caranya maka betullah pengakhirannya.

"Saya pula bukan jenis yang akan bercerita secara terbuka akan kasih sayang terhadap isteri sebanyak mana atau berkata contohnya tak akan cari perempuan lain. Itu hanya pandangan zahir sahaja.

"Tapi secara batin saya tak cakap. Jadi faham-faham sendiri yang saya sedang membahagiakan Almy Nadia sendiri," katanya.

FIZZ Fairuz dan Almy Nadia. - Foto Adi Safri

Sekalipun Fizz pernah mengeluarkan kenyataan tak kisah bagaimana saiz Almy kini, isterinya itu tetap mahu berusaha menguruskan badan supaya kembali ramping seperti dahulu.

"Saya nampak dia memang berusaha keras untuk kuruskan badan. Tapi memang selalunya wanita yang melahirkan anak pertama, badan akan mengembang besar. Bayangkan masa dia mengandung berat mencecah 90 kilogram.

"Tapi sejujurnya, saya tak mahu bebankan dia untuk kurus secepat mungkin atau sebaliknya. Bagi saya, kalau dia nak kurus... silakan. Tak nak kurus pun tak mengapa. Saya okey.

"Cuma kalau dia terlalu nak ambil pot dengan kata negatif orang di luar sana, ia akan menyusahkan dirinya selain mengganggu emosi. Orang di luar memang boleh bersuara. Orang luar senang sahaja berkata itu dan ini. Perdana Menteri kita pun selalu cakap, negara kita ada hak bersuara. Saya memahami apa yang dilaluinya.

"Tapi apa yang boleh saya katakan, kami sudah menjadi suami isteri dan saya tak mahu dia terus terbeban dengan apa pandangan orang. Sebagai selebriti, dia sendiri kena positif. Kalau terus melayan apa orang kata, ia pastinya akan menyemarakkan rasa nak marah dan membabitkan emosi diri," katanya.

MOHD Fairuz Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Fizz Fairuz. - Foto Zunnur Al Shafiq

Dalam perkembangan lain, pada setiap Aidilfitri topik balik kampung semestinya menjadi perdebatan hangat.

Ironinya, senario inilah yang sedikit sebanyak menghangatkan demam raya. Malah tak kurang juga yang boleh menimbulkan gaduh-gaduh manja di kalangan suami isteri apabila masing-masing tak dapat beraya di rumah keluarga sendiri.

Malah pasangan Fizz dan Almy turut melalui senario sama.

Jika tahun pertama mereka berkahwin, Fizz terpaksa beralah dengan isterinya untuk beraya di Pulau Pinang. Kini Syawal tahun ini, Fizz pula gembira bukan kepalang kerana gilirannya pula beraya di Pahang.

Almy sebelum ini mengakui cukup 'tertekan' dengan hal berkenaan malah tak mampu menahan air mata daripada jatuh pada malam raya kerana sebak mengenangkan keluarga.

FIZZ Fairuz bersama isteri Almy Nadia dan anak mereka, Nur Afrina Darwisyah dan Nur Afrina Arianna (bayi). - Foto Shiraz Ali

"Nak kata tertekan, memang dia (Almy) tertekan sangat raya kali ini. Saya sendiri melalui getar rasa yang sama tahun lalu. Tapi reda dan pasrahlah jawabnya. Tahun ini tahun saya, jadi biarlah tekanan itu pada dia pula. Padan muka dia pula. Tahun lalu dia gelakkan saya, tahun ini giliran dia pula digelakkan saya.

"Insya-Allah raya pertama sampai ketiga kami akan beraya di Pahang. Petang raya ketiga kami akan gerak ke Pulau Pinang. Raya keempat sudah balik ke ibu kota kerana raya kelima saya sudah ada komitmen kerja seni," kata Fizz Fairuz yang ditemui pada pelancaran kempen baharu Lord's Tailor, #dresslikeaLord. Pastinya lebaran kali ini juga menambah sisi bahagia dan indah buat Fizz dan Almy sendiri kerana dapat beraya dengan anak kandung sendiri.

Hasil perkongsian hidup mereka sejak 26 April tahun lalu, Nur Afrina Arianna lahir tanggal 16 Februari lalu di Hospital Columbia Asia, Setapak sebagai saksi utuh cinta mereka. Sebelum kelahiran anak sulung itu, mereka turut membela anak angkat bernama Nur Afrina Darwisyah.

Fizz mengakui persiapan raya semestinya dilebihkan kepada dua anak mereka itu.

"Kehadiran anak memang merubah paksi hidup saya secara drastik. Segala-galanya berubah sekelip mata daripada aspek kehidupan dan kewangan. Ia sangat ajaib dan itulah keindahan yang dirasai mereka yang berkahwin sekali gus bergelar ibu bapa. Saya nak cerita dan luah kegembiraan serta kelainan hidup ini sangat sukar. Barangkali kalau nak tahu, mereka yang belum berkahwin kena kahwin dan merasainya sendiri. Ia memang fasa yang sangat terbaik dalam hidup saya ini. Imaginasinya sangat besar," katanya.

Berita Harian X