Isnin, 27 Julai 2015 | 4:30pm

Pencapaian dua tahun PPPM memberangsangkan - Muhyiddin


MUHYIDDIN (dua dari kanan), beramah mesra bersama Muhammad Razin Md Idzuddin, (kanan), Ahmad Hazimie Mohd Yazid (dua dari kiri), dan Azwan Hakimi Azli, sewaktu melawat ruang pameran ketika hadir ke Majlis Perlancaran Laporan Tahunan 2014 Pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025, di Dewan Kompleks Seri Bintang, Cheras, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Bilangan sekolah yang memperoleh band enam dan tujuh berjaya dikurangkan iaitu daripada 1.39 peratus pada 2013 kepada 0.96 peratus tahun lalu, sepanjang dua tahun pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Sementara, sekolah yang memperoleh band satu dan dua berjaya ditingkatkan kepada 36.8 peratus pada tahun lalu, berbanding 31 peratus pada tahun sebelumnya.

Bagi akses pendidikan berkualiti, enrolmen prasekolah berjaya ditingkatkan daripada 81.71 peratus kepada 84.21 peratus, dengan lebih 1,273 kelas prasekolah sudah dibuka tahun lalu, menjadikan keseluruhannya 42,866 buah sekolah seluruh negara.

Itu antara pencapaian yang terkandung dalam laporan tahunan PPPM 2014, seperti dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya sempena majlis pelancaran laporan terbabit di Kompleks Sri Bintang, Cheras, hari ini.

Muhyiddin menjelaskan, pencapaian dalam tempoh dua tahun itu juga menunjukkan usaha di bawah PPPM mendatangkan hasil, dengan perubahan peranan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selaku entiti paling hampir kini lebih menjurus kepada bimbingan dan pementoran.

Menyentuh pendidikan dalam kalangan Orang Asli, beliau menyatakan enrolmen murid daripada masyarakat itu sudah menyaksikan peningkatan kepada 41,207 orang pada tahun lalu, berbanding 39,149 orang pada 2013.

"Kementerian juga komited meningkatkan peluang pendidikan bagi murid berkeperluan khas. (Hasilnya) daripada 58,006 murid bekeperluan khas yang berdaftar, 10,700 murid terbabit dalam Program Pendidikan Inklusif.

"Jumlah sekolah yang menawarkan program ini juga telah meningkat kepada 2,798 berbanding 1,742 sekolah pada tahun sebelumnya," katanya. Hadir sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap dan P Kamalanathan.

Di peringkat menengah atas pula, Muhyiddin berkata, tahun lalu saja, seramai 22,096 murid lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendaftar untuk dua program vokasional iaitu Diploma Vokasional dan Sijil Kemahiran Malaysia.

Beliau berkata, perubahan ketara juga dapat dilihat di peringkat pendidikan lepas menengah iaitu di bawah Transformasi Tingkatan Enam, di mana menyaksikan penubuhan lima pusat Tingkatan 6 di Johor; Kuala Lumpur; Kedah; Selangor dan Sabah.

"Seramai 1,236 murid kini mengikuti pengajian di pusat itu dalam usaha kementerian meningkatkan enrolmen Tingkatan 6 sebagai salah satu alternatif kepada pendidikan lepas menengah.

Secara kesimpulannya, Muhyiddin berkata, selepas dua tahun pelaksanaan PPPM, perubahannya sudah mula berlaku di dalam bilik darjah, bukan saja susun atur dalam kelas, namun peranan guru itu sendiri dalam menjadi fasilitator kepada murid dalam mendapatkan maklumat yang tepat dan betul.

"Aktiviti di dalam kelas juga kini semakin hidup dengan pembentangan dan perkongsian murid, malah murid kini boleh membuat penilaian rakan sebaya dan saling membantu dalam proses pembelajaran," katanya.

Berita Harian X