Isnin, 27 Julai 2015 | 9:03pm

Futsal: Serpa kekal 14 pemain jalani kem latihan pusat

KETUA jurulatih futsal kebangsaan, Marcelo Serpa.
KETUA jurulatih futsal kebangsaan, Marcelo Serpa.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Marcelo Serpa mengekalkan kesemua 14 pemain yang membawa Malaysia muncul naib juara Piala Futsal Komanwel 2015 di Wellington, New Zealand, 12 Julai lalu bagi mengharungi kem latihan pusat di Shah Alam bermula minggu depan.

Selain itu, Serpa turut melakukan enam penambahan bagi mengisi senarai 20 pemain yang dipanggil pada sesi kali ini yang bermula pada 4 Ogos hingga 3 September di Kompleks Sukan Negara (Panasonic) Shah Alam.

14 pemain negara yang dikekalkan ialah Ahmad Fawzul Hadzir, Saiful Nizam Mohamad Ali, Azrul Hadee Mohd Taufiq, Muhammad Fitri Muhammad Yatim, Muhammad Akmal Yazadh Amri (FELDA United), Saiful Aula Ahmad, Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (Selangor), Muhammad Shamar Fadzil (Melaka) Amar Ashraf Abu Bakar (Kedah), Syed Aizad Daniel Syed Nasir, Muhammad Shamsul Akmar Zamri (MPSJ), Mohd Noor Azrin Adnan (MK Land), Akmarulnizam Mohd Idris (Pahang), Mohd Ridzwan Bakri (Sabah).

Enam pemain yang dipanggil ialah Qaiser Heshaam Abdul Kadir dan Abu Haniffa Hassan (KL FELDA UNITED), Mohd Rahimi Abdul Shatar (Melaka), Mohd Shahmi Abdullah Sani (Kedah) serta Firdaus Razali dan Afif Asyraf Muhd Halil (MPSJ).

Begitupun, daripada senarai 20 pemain ini, hanya 16 pemain akan dibawa ke Oita dan Osaka, Jepun untuk siri perlawanan persahabatan dari 4 hingga 12 September 2015.

Kem latihan dan siri perlawanan persahabatan adalah sebagai persiapan skuad futsal kebangsaan bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2015 yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand dari 8 hingga 16 Oktober 2015.

Pada Kejuaraan Futsal AFF 2015, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Thailand serta Timor-Leste, Brunei dan Singapura manakala Kumpulan B dibarisi Australia, Vietnam, Laos, Myanmar dan Filipina.

Berita Harian X