Selasa, 28 Julai 2015 | 12:20am

Tempoyak Baung Kuala Berang

 


JIKA Temerloh, Pahang, terkenal dengan patin tempoyaknya, bandar Kuala Berang, Terengganu, tidak kurang popularnya dengan asam pedas tempoyak ikan baung.

Malah, masakan ini yang hanya boleh didapati di Kuala Berang yang terletak kira-kira 40 kilometer dari bandar raya Kuala Terengganu, kini menjadi antara satu tarikan utama untuk pelancong mengunjungi pekan ini.

Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelarkan Kuala Berang sebagai syurga asam pedas tempoyak, kerana sesiapa yang sudah merasai keenakan masakan itu di bandar ini, pasti setuju ia agak berbeza dengan hidangan sama yang dijual di restoran di daerah lain di negeri ini.

Hidangan asam pedas tempoyak ikan baung antara yang paling diminati, selain lampam, sebarau dan ikan kelah. Bagaimanapun, ikan kelah agak mahal dengan harga paling murah adalah kira-kira RM200 seekor.

Berbeza dengan patin tempoyak di Temerloh yang sudah agak lama dikenali, asam pedas tempoyak di Kuala Berang ini baru berkembang lima hingga enam tahun lalu.

PENIAGA, Siti Zubaidah Zakaria menunjukkan asam pedas tempoyak ikan baung yang mendapat sambutan pelanggan di Kuala Berang. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Adunan bahan seperti bawang merah, bawang putih, daun kesum, serai, asam keping, tempoyak dan cili api menzahirkan resipi yang membuatkan kecur air liur, apatah lagi sesuai menikmatinya bersama nasi panas dan ulaman serta budu.

Ia bermula dengan seorang peniaga yang mula memperkenalkan asam pedas tempoyak, sebelum berkembang kepada hampir 10 peniaga kini yang menyajikan hidangan asam pedas tempoyak ini dengan lokasi paling popular kebanyakannya terletak di Kampung Gaung.

Biarpun hampir sama dengan menu popular Temerloh itu, asam pedas tempoyak Kuala Berang menjanjikan kelainan berbanding tempoyak patin Temerloh. Asam pedas tempoyak Kuala Berang lebih cair, tidak sepekat masak tempoyak patin Temerloh.

Kuahnya yang lengkap dengan rasa masam tempoyak, rasa berangin dari daun kesum serta serai yang menghilangkan bau hanyir ikan, cukup memikat rasa sehingga ramai yang menghirup kuah begitu sahaja.

PENGUNJUNG tidak melepas peluang menikmati asam pedas tempoyak ikan baung di Kuala Berang. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Keenakan hidangan ini menyebabkan ramai pengunjung terutama dari luar Terengganu yang mempunyai urusan di Terengganu sanggup memandu ke bandar ini semata-mata untuk menikmati hidangan tengah hari masak asam tempoyak.

 

Siti Fatimah Kassim, 30, yang sudah empat tahun membuka kedai asam pedas tempoyak, ramai pelanggan termasuk dari China datang ke kedainya semata-mata untuk menikmati hidangan lazat itu.

Katanya, setiap hari beliau perlu menyediakan sekitar 30 kilogram (kg) ikan baung untuk dimasak asam pedas tempoyak pada hari biasa dan perlu menambah sekali ganda sekitar 60kg pada musim cuti sekolah atau perayaan bagi memenuhi permintaan yang meningkat.

"Kebanyakan pelanggan lebih gemar memilih ikan baung kerana harganya berpatutan dan rasanya memang sesuai untuk hidangan asam pedas tempoyak. Kebiasaannya pelanggan gemarkan ikan lampam yang digoreng garing dan mereka kurang gemar menjadikannya menu asam pedas tempoyak.

   

"Apa yang istimewa, pelanggan akan disajikan budu dan ulaman yang akan membangkitkan selera apabila dimakan bersama asam pedas tempoyak. Malah, di kedai kami ikan goreng disediakan atas permintaan pelanggan, jadi pelanggan akan menikmati ikan goreng segar panas-panas," katanya.

SEORANG pekerja kedai makan menghidangkan asam pedas tempoyak ikan baung untuk pelanggan. - Foto Aswadi Alias

Siti Fatimah berkata, masakan asam pedas Kuala Berang tidak jauh berbeza dengan tempoyak patin Temerloh, cuma kuahnya sedikit cair dan manis berbanding patin tempoyak Temerloh.

Beliau berkata, semua bekalan ikan diperoleh daripada pembekal tempatan setiap hari termasuk dari Tasik Kenyir yang memang terkenal sebagai syurga kaki pancing dan memiliki Santuari Kelah sendiri.

 

Seorang lagi peniaga asam pedas tempoyak, Siti Zubaidah Zakaria, 29, yang baru dua tahun berniaga, berkata beliau tertarik untuk menjual masakan itu selepas melihat sambutan orang ramai sangat, termasuk pelancong luar, amat menggalakkan.

   

"Tidak sangka pula masakan ini kini menjadi antara satu 'trademark' yang memperkenalkan Kuala Berang kepada pelancong. Pelanggan yang datang ke kedai saya, selain dari negeri ini juga ada yang datang dari jauh termasuk Brunei dan China.

   

Resipi untuk memastikan keenakan masakan ini ialah asam keping perlu dimasukkan terlebih dulu diikuti tempoyak sebaik air rebusan cili, daun kesum dan serai mendidih," katanya.

   

Sementara itu, Wan Nor Hidayah Wan Mohd Mazuki, 34, berkata beliau dan keluarganya sanggup datang ke Kuala Berang dari Kemaman pada hari cuti semata-mata untuk menikmati asam pedas tempoyak baung.

   

"Kami sebenarnya tahu mengenai keistimewaan asam pedas tempoyak di Kuala Berang ini melalui beberapa kawan. Selepas datang ternyata rasa masakan ini menggamit kami untuk datang lagi. Rasanya lebih sedap daripada masakan tempoyak di tempat lain kerana kuahnya yang cair sedap dihirup," katanya.

ZULKIFLY Abu Bakar bersama keluarganya menikmati asam pedas tempoyak ikan baung di Kuala Berang. - Foto Mohd Syafiq Ambak

Zulkifly Abu Bakar, 48, dari Kemaman, berkata beliau dan keluarganya sanggup melencong dan singgah makan asam pedas tempoyak di Kuala Berang, setiap kali sebelum menghantar anak perempuannya pulang ke asrama di Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu.

   

"Disebabkan keenakan masakan asam pedas tempoyak di sini, kami sekeluarga tidak akan melepaskan peluang menikmatinya setiap kali ada kesempatan. Bagi kami, asam pedas tempoyak air tangan peniaga di bandar ini tidak sama dengan yang ada di tempat kami, memang berbeza, tetapi tidak tahu hendak cakap macam mana perbezaan itu," katanya.

Berita Harian X