Selasa, 28 Julai 2015 | 12:54pm
Nur Suhada Jebat atau Ayda Jebat. - Foto Halimaton Saadiah

Ayda Jebat pertaruh single Siapa Diriku

KUALA LUMPUR: Bermula dengan menyertai pertandingan Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) empat tahun lalu, Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH) lebih menyerlah dan dikenali sebagai pelakon.

Itu satu fakta yang tidak boleh diubah dan ternyata tuah lebih menyebelahi Ayda Jebat sebagai pelakon.

Drama Rindu Awak 200 % yang bersiaran di TV3 menerusi slot Akasia TV3 ternyata melonjak nama beliau yang cukup terkenal dengan tagline #muahciked.

Gandingan sulungnya bersama Zul Ariffin mencipta fenomena dan sensasi tersendiri hingga melayakkan Ayda memenangi beberapa siri anugerah termasuk kategori Artis Baharu MeleTOP dan Anugerah Top Top MeleTOP bagi Anugerah MeleTOP ERA 2015.

Pertemuannya baru-baru ini turut menyingkap khabar gembira mengenai dunia nyanyiannya. Mungkin selama ini Ayda dilihat begitu fokus berlakon hingga lupa dunia nyanyian yang memperkenalkan di arena seni.

Ayda begitu teruja bercerita mengenai single pertamanya berjudul Siapa Diriku berentak pop. Lagu itu ciptaan Omar K manakala lirik hasil sentuhan Omar K juga bersama Ayda.

Walaupun mengambil masa hampir empat tahun untuk dia muncul dengan single pertama, Ayda tidak ralat dan percaya ruang itu sentiasa ada dan boleh dimanfaatkan jika kena pada gayanya.

Lagu ini dihasilkan menerusi syarikat pengurusan saya sendiri iaitu Paranormal Talent

"Saya memang nak kembali fokus kepada nyanyian pada saat ini selain berlakon. Ini lagu pertama saya dan saya nak curi perhatian pendengar dengan lagu pop.

"Mungkin single seterusnya boleh diketengahkan konsep balada. Malah saya turut melobi lagu ini kepada pengarah drama Maid, Michael Ang untuk digunakan sebagai lagu tema atau latar.

"Dalam tempoh kurang sebulan lagu ini disiapkan dan saya cuba memenuhi permintaan pengarah mengenai penceritaan apa yang sesuai digambarkan dalam lagu ini.

"Insya-Allah lagu ini akan dipromosikan dalam minggu pertama atau kedua raya. Saya tak mahulah lagu ini dipromosikan sekarang kerana semestinya lagu raya yang akan mendapat permintaan tinggi.

"Lagu ini juga menjadi penentu saya di arena nyanyian. Memang ada tekanan. Tapi saya optimis biarpun orang muda seperti saya akan dianggap cepat patah semangat. Orang mungkin akan cakap kalau lagu ini tak meletup, lebih baik saya berlakon sahaja. Namun jauh di sudut hati saya berharap kepercayaan semua untuk terus menyanyi," katanya.

Lagu Siapa Diriku secara jelas menceritakan mengenai realiti kehidupan anak seni yang sering menjadi mangsa kecaman pahlawan papan kekunci di laman sosial.

Ayda sendiri melihat lagu ini bersesuaian dengan usia dan karakter dirinya yang happy go lucky.

"Secara dasarnya peminat dan orang sekeliling mengenai saya sebagai seorang yang 'gila-gila, gedik dan suka gelak. Saya tidak mahu hilangkan sikap semula jadi itu hanya kerana mahu memuaskan hati orang yang tidak suka.

"Saya hanya menjadi diri sendiri dan sebab itu saya mahu lagu Siapa Diriku ini menjadi seperti yang diharapkan.

"Lagu ini mewakili manusia tak kiralah dia artis atau orang biasa sekalipun tetapi pantas dihukum dan mendapat komen negatif di laman sosial. Lagu ini dalam erti kata lain menyerlahkan sisi judgmental manusia yang tak kenal seseorang itu atau belum berjumpa tetapi begitu cepat meletakkan kesimpulan sendiri.

"Pendek kata lagu ini ada kena mengena dengan saya atau mana-mana individu yang selalu dihukum. Contohnya lirik ini berbunyi Ku bukan primadona... ku bukan diva.. tapi itu memang aku. Ia mewakili diri saya dan diluahkan dalam lagu," katanya.

Berita Harian X