Selasa, 28 Julai 2015 | 1:21pm

Sekolah Global Matrix penuhi keperluan pendidikan antarabangsa - Muhyiddin

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan beramah mesra dengan murid Matrix Global School selepas merasmikan Matrix Global School di Bandar Seri Sendayan, Seremban. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pembukaan Sekolah Global Matrix (MGS) di Bandar Seri Sendayan di sini akan mempercepatkan usaha Negeri Sembilan menjadi kawasan tumpuan pendidikan di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, penubuhan sekolah itu bukan saja didorong oleh permintaan domestik yang semakin meningkat daripada kalangan penduduk berkemampuan, malah memenuhi keperluan pendidikan masyarakat antarabangsa yang semakin meningkat di rantau Asia Tenggara.

"Penglibatan Kumpulan Matrix Global Concept menubuhkan sekolah ini juga memenuhi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang bertujuan meningkatkan kualiti pendidikan negara," katanya ketika merasmikan MGS, hari ini.

turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Matrix Concepts Holdings Berhad, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.

MGS yang beroperasi sejak September lalu, menawarkan pendidikan dua aliran, iaitu sekolah antarabangsa menggunakan model sekolah British dan sekolah kebangsaan swasta menggunakan kurikulum tempatan.

Sementara itu, lebih 50 petugas media massa cuba mendapatkan komen Muhyiddin, mengenai ura-ura rombakan Kabinet yang dikatakan akan diadakan hari ini, tetapi Timbalan Perdana Menteri, tidak mengadakan sidang akhbar dan terus meninggalkan MGS sebaik majlis perasmian selesai.

Berita Harian X