Rabu, 29 Julai 2015 | 3:40pm

Hans Isaac berpeluh kerana babak atas katil filem Nota

[email protected]


PELAKON, Maya Karin (kiri) dan Hans Isaac. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Kenal sudah lama, tetapi hanya baharu sekarang Hans Isaac berlakon bersama teman seperjuangannya, Maya Karin.

Membawakan watak suami isteri yang bermasalah selepas sedekad berkahwin termasuk gagal mendapat zuriat, dua pelakon ini mencerminkan keserasian tersendiri menerusi watak Erin dan Kamal di bawah kerja tangan pengarah dari Jepun, Yasu Tanaka.

Filem terbitan 42nd Pictures dengan genre misteri, jenayah dan psikologi 'thriller' ini memulakan penggambaran sejak April hingga Mei 2013 dan mengambil masa selama 26 hari untuk disiapkan di sekitar Sarawak dan Kuala Lumpur. Ia turut dibintangi arwah Ramli Hassan dan pelakon Jepun, Rin Izumi.

Hans bagaimanapun sebelum ini pernah mengarahkan Maya untuk pementasan teater muzikal Supermokh yang dipentaskan di Istana Budaya sekitar 2013.

Biarpun pertama kali bergandingan dengan Maya, Hans tidak melihat ia suatu masalah besar buatnya kerana babak yang banyak dilakonkan mereka banyak cenderung ke arah mainan emosi yang dingin.

"Boleh katakan Maya menjadi nadi kepada filem ini. Saya umpama sub plot untuk menolak karakternya supaya memberikan reaksi kepada apa yang cuba disampaikan. Saya memang sudah kenal Maya dalam tempoh lama.

"Nak wujudkan keserasian itu bukan beban. Secara realitinya pun hubungan kami seperti watak dalam filem ini. Di luar set penggambaran pun kami jenis yang kadang-kadang baik dan kadang-kadang tak bercakap.

"Memang tak susah nak masukkan karakter sebegitu di dalam filem. Kami pasangan suami isteri yang melalui episod hambar selepas beberapa tahun berkahwin. Hanya beberapa babak imbas semula sahaja yang memerlukan kami dalam situasi mesra.

"Semestinya saya bangga untuk berada sebaris dengan Maya antara bintang terbaik di negara kita," katanya dalam pertemuan dengan BH Online di Cineleisure, The Curve baru-baru ini ketika pratonton filem Nota diadakan.

Hans turut berkongsi pengalaman melakonkan babak intim dengan pelakon Jepun yang membuatkan beliau sendiri berpeluh satu badan.

"Babak intim berkenaan menjadi babak pertama yang saya lakukan. Hari pertama saya perlu buka baju dan berlakon dengan pelakon yang tak pernah ditemui sebelum ini. Ikutkan saya pernah melakonkan babak intim di Filipina berjudul Miss You Like Crazy tetapi ia ditayangkan di sana pada 2010. Risau juga kerana saya menghormati sensitiviti masyarakat di negara kita. Tapi apabila tengok filem ini, ia tidaklah keterlaluan

Saya dan pelakon itu perlu berada di dalam selimut. Memang janggal kerana saya memang tak kenal pelakon berkenaan. Tapi dengan sekali penggambaran kami berjaya memuaskan kehendak pengarah," katanya.


(DARI kiri) Hans Isaac, Maya Karin, penerbit filem Nota, Bea Tanaka dan pengarah filem itu, Yasu Tanaka pada tayangan perdana filem Nota. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Menurut pemilik syarikat Tall Order Production itu, filem ini secara jelas membawa Maya lari daripada kebiasaan.

"Selama ini, orang mungkin hanya lihat Maya menerusi watak pontianak sahaja dan romantik, tapi menerusi Nota, Maya menyerlah sisi yang berbeza daripada lazimnya. Secara jujurnya filem ini memang tak perlu keserasian sangat kerana banyak babak antara saya dengan Maya memang dalam situasi dingin dan seperti ada dinding penghalang.

"Filem ini juga saya dan Maya tidak mengenakan solekan. Saya sendiri tak kisah berbadan buncit untuk menunjukkan realiti lelaki yang berdepan masalah rumah tangga. Saya sanggup pakai baju yang betul ketat untuk menampakkan perut buncit. Selalunya orang bermasalah ini, realitinya akan makan banyak untuk melupakannya," kata Hans.

Mengenai tawaran berlakon filem ini, Hans memberitahu pengarahnya, Yasu melamar beliau sebanyak tiga kali.

"Ketika tawaran diterima, saya terikat dengan sebuah drama di Astro. Akhirnya selepas berbincang semula, saya akhirnya menyahut cabaran untuk sama-sama membintangi filem ini.

"Saya pun sudah lama kenal Yasu. Lagipun dia pernah menjadi penulis skrip bersama untuk filem Lemak Kampung Santan. Saya juga pernah mengambil kursus penulisan skrip bersamanya di FINAS sebelum ini.

"Filem ini mengingatkan saya kepada filem Pesona Nan Grata yang saya pernah lakonkan. Filem ini memang berpaksikan seni dan bukan seperti filem komersial yang saya pernah lakonkan. Selalunya kebanyakan penonton kita takkan menghargai filem 'seni' sebegini dan lebih mudah terbuka kepada filem komersial.

"Tapi filem ini pernah ditayangkan di Cannes, Perancis dan ia disambut baik. Tapi adakah penonton Malaysia boleh menerimanya. Apa apapun kita kena tunggu dan lihat," katanya.

Filem Nota akan ditayangkan di pawagam berhampiran mulai 13 Ogos depan.

Berita Harian X