Khamis, 30 Julai 2015 | 11:05am

Erra Fazira 'kembali' kepada Remy Ishak

ERRA (kiri) bersama Remy Ishak.

KUALA LUMPUR: Pernah berkongsi pentas yang sama dengan Remy Ishak ketika sama-sama membintangi teater Takhta 3 Ratu hujung tahun lalu, takdir akhirnya kembali menyatukan Erra dengan pelakon berbakat besar itu sekali lagi. Buat pertama kali Erra dan Remy akan berlakon di kaca TV menerusi telefilem Tasbih Biru arahan Azma Aizal Yusoof bagi siaran Astro Oasis.

Jika di dalam teater Takhta 3 Ratu arahan sutradara Erma Fatima itu, Erra menjadi 'rebutan' antara Remy dan Awie. Tetapi Tasbih Cinta bakal menyaksikan cinta antara Erra dan Remy bersatu. Erra membawakan watak Aisyah dan Remy sebagai lelaki buta bernama Ahmad.

Menurut Erra penggambaran telefilem berkenaan bermula sejak Selasa.

"Dia (Remy) seorang pelakon yang baik. Tapi secara keseluruhannya, saya teruja nak berlakon telefilem ini kerana dapat bergandingan dengan pengarah yang saya minat. Kali terakhir saya bekerja dengan pengarah (Azma) sejak dua tahun lalu. Sepanjang bekerjasama dan mengenali profil lakonan Remy, dia seorang pelakon yang serius serta berusaha kuat menjiwai serta mencantikkan karakter.

"Cabaran dalam telefilem ini ialah dia menjadi buta. Ahmad digambarkan sebagai seorang lelaki muda tetapi budiman dan tinggi selok belok agamanya. Aisyah pula sebagai wanita berusia yang memiliki kerjaya stabil tetapi kehidupannya masih kosong dan dia berusaha mencari kekosongan yang ada itu.

"Perbezaan usia Aisyah dan Ahmad tidak menghalang mereka menjalinkan cinta. Jodoh mereka kuat hingga berkahwin. Nak tahu bagaimana jalan cerita dan kesudahannya kenalah tunggu bila ia akan disiarkan kelak," kata Erra membuka bicara ketika ditemui pada majlis sambutan raya kelab peminatnya dikenali sebagai Bersama Erra (BE) di Rumah Tamu Datin Halijah, Taman Datuk Senu, Sentul Ahad lalu

Berita Harian X