Khamis, 30 Julai 2015 | 12:34pm

Bukan mudah jadi bapa pada usia 23 tahun - Amir Jahari


Amir Jahari. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amir Jahari mengakui bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai seorang bapa pada usia muda 23 tahun.

Penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang itu berkongsi pengalaman bagaimana beliau hanya tidur selama empat jam setiap hari sejak anak sulungnya, Nur Izzah Amaani dilahirkan tiga bulan lalu.

"Saya tidak menyangka bergelar bapa dalam jangka masa terdekat, namun saya bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan buat saya dan isteri.

"Alhamdulillah saya dikurniakan seorang bayi perempuan yang comel dan sihat serta cukup sifatnya. Kelahiran cahaya mata sulung ini banyak mengajar saya erti kehidupan dan mematangkan saya dari pelbagai segi.

"Kini saya sudah mahir memasak, mencuci baju, mengemas rumah dan banyak lagi. Semua ini dipelajari ketika isteri sedang menjalani proses berpantang," katanya.

Pelantun lagu Aku Juga Manusia itu menambah, beliau mengambil giliran bersama isteri, Kartini Ismail yang dikahwininya pada Oktober 2013 untuk menjaga anak sulung mereka.

Amir berkata, transisi daripada seorang lelaki bujang dan bergelar suami banyak mengubahnya dalam melihat aspek kehidupan dengan cara lebih matang dan ia diterjemahkan dalam bentuk penulisan lagu.

"Saya sebenarnya kurang gemar untuk menghasilkan lagu berunsurkan kekeluargaan, politik dan situasi terkini. Namun mungkin prinsip itu akan berubah pada masa akan datang. Kebanyakan lagu-lagu saya dihasilkan berdasarkan kehidupan sendiri.

"Malah lagu-lagu yang saya hasilkan memang dicipta khas untuk penyanyi itu sendiri. Saya akan meluangkan masa bersama penyanyi itu bagi memastikan ada hubung kait antara lagu dan penyanyi itu sendiri," ujar Amir.

"Lagu-lagu yang dihasilkan memang dibuat khas untuk penyanyi itu sendiri hasil perbincangan bersama. Saya tidak pernah memberi orang lagu dari koleksi sendiri kerana ia berkisar tentang kehidupan saya dan hanya sesuai dinyanyikan oleh saya," katanya.

Dalam perkembangan terkini, Amir sedang dalam proses mengumpul bahan untuk album keduanya. Beliau tampil dengan album pertama berjudul Penghibur Jalanan pada tahun 2013.

Ia memuatkan tujuh buah lagu iaitu Tanpamu, Gelisah, Ajarkan Aku ft. Aziz Harun, Aku Juga Manusia, Penghibur Jalanan, Masa Lalu dan juga Selalu Ada yang kesemuanya ditulis sendiri oleh Amir.

Berita Harian X