Khamis, 30 Julai 2015 | 2:29pm

Bakal suami pandai ambil hati ibu - Sheera Iskandar

SHEERA iskandar bersama bakal suami, Doul Harun.

KUALA LUMPUR: Selain penyanyi Nubhan yang akan berkahwin dengan doktor gigi pada 29 Ogos ini, Sheera Iskandar, anak kepada pelakon Aznah Hamid juga memilih bulan depan untuk bersatu dengan cinta hatinya seorang chef, Doul Harun.

Bagaimanapun ketika ditemubual sebentar tadi, Sheera memberitahu tarikh tepat majlis pernikahannya masih belum diputuskan lagi.

Seperti gadis sebayanya, Sheera juga pernah melalui fasa percintaan yang kecundang di tengah jalan namun seperti wanita lain, Sheera berhak mengecapi saat bahagia.

Kehadiran Doul yang pernah mencipta lagu dan bergelar 'rapper' sebelum ini seakan mengubah dimensi hidupnya.

Bermula sebagai kawan sejak empat tahun lalu, siapa menduga dalam hati sebenarnya terbit rasa cinta yang tidak dijangka.

Kesungguhan Doul untuk memperisterikan Sheera sekali gus membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius sekali gus membuka pintu hatinya.

Malah lebih utama Doul seperti dijelaskan, Sheera pandai mengambil hati ibunya. Sheera dilamar Doul seterusnya diikuti dengan majlis merisik pada Mei lalu.

SHEERA iskandar dan bakal suami, Doul Harun.

"Dia (Doul) memang banyak memberi keyakinan dan bersungguh-sungguh mahu memperisterikan saya.

"Selama ini tak saya nafikan pintu hati sesekali hati tertutup. Tapi Alhamdulillah saya yakin dengan pilihan ini dan dialah yang satu di dalam hati. Selalunya, dalam apa hal sekalipun termasuk soal hati... saya banyak pertimbangkan kehadiran mama.

"Kalau mama gembira dengan keputusan ini, maka sayalah insan paling gembira di dunia ini. Dia memang pandai mencuri hati mama.

"Selalunya kalau mama okey dengan sesuatu atau individu itu termasuklah kekasih hati, maka secara automatik saya pun turut okey. Mama memang suka melayan dia. Pendek kata, saya selesa dengan cara dan diri dia," kata Sheera kepada BH Online.

Pada peringkat awal Sheera dan Doul merancang bertunang dahulu namun selepas mempertimbangkan beberapa perkara, pasangan ini mahu terus bernikah.

"Keluarga masing-masing pun teruja dengan berita ini dan beriya nak bantu itu dan ini. Ikutkan hati nak buat majlis resepsi besar-besaran dalam tahun ini tetapi memandangkan adik perempuan juga akan berkahwin pada November depan, maka saya rasa lebih baik buat yang wajib dahulu.

SHEERA Iskandar memuat naik paparan skrin mesej bakal suaminya, Doul Harun. - Foto Instagram Sheera

"Saya tak mahu bebankan mama nak fikirkan majlis saya dan adik serentak. Lagipun saya okey sahaja dengan majlis yang ringkas.

"Saya pun sudah lama menanti detik untuk bergelar isteri. Hanya pada usia 30 tahun baharu ia menjadi realiti. Doul pun tua setahun daripada saya. Insya-Allah ada rezeki lebih, majlis resepsi saya berkemungkinan besar diadakan pada tahun depan," katanya.

Di akhir perbualan, Sheera turut mendedahkan yang bakal suaminya pernah membikin lagu untuk sebuah filem lakonannya berjudul Aku Bukan Tomboy.

"Lucunya sebelum ini saya tak sedar pun dia yang mencipta lagu untuk filem itu," kata pelakon yang terkenal dengan drama Janji Diana dan Halimah Jongang itu.

Berita Harian X