Khamis, 30 Julai 2015 | 3:30pm

Azalina cadang jawatan pengerusi FINAS diberi kepada pemimpin UMNO

DATUK Seri Azalina Othman. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Seri Azalina Othman mencadangkan jawatan yang bakal dilepaskannya diberikan kepada pemimpin UMNO supaya selari dengan wawasan Barisan Nasional.

Beliau berkata, tiada isu andai ahli politik sepertinya mempengerusikan perbadanan berkaitan industri kreatif itu memandangkan ahli lembaga pengarah lain terdiri daripada penggiat seni berpengalaman.

"Jawatan pengerusi FINAS memang perlu dilepaskan namun, saya akan berbincang dulu dengan menteri baharu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Bagi saya, sebaik-baiknya FINAS diterajui oleh pemimpin UMNO supaya seiring wawasan yang diperjuangkan oleh Barisan Nasional.

"Suka atau tidak, industri kreatif dipelopori oleh orang Melayu jadi seeloknya biarlah FINAS diterajui pemimpin UMNO," katanya ketika ditemui di Restoran Rebung, di sini.

Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang, Johor dilantik menerajui Finas berkuatkuasa 1 Jun lalu dan perlu melepaskan jawatan berkenaan selepas diumumkan menganggotai Kabinet kelmarin.

Menerusi rombakan Kabinet yang baharu itu, beliau dipertanggungjawabkan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau menggantikan Datuk Md Afendi Hamdan yang memegang jawatan berkenaan bermula 1 September 2011 sehingga 31 Januari 2015.

Menyentuh mengenai pemilihan Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai Menteri Komunikasi Dan Multimedia baharu, katanya pengalaman selaku bekas Ketua Pengarah FINAS membolehkan beliau lebih memahami situasi sebenar industri.

"Datuk Seri Salleh sendiri pernah menerajui FINAS. Sekali gus saya yakin kepimpinannya untuk menerajui dan mengambil alih jawatan menteri," katanya.

Terdahulu, selepas memegang jawatan dalam Finas selama sebulan 10 hari, Azalina membuat rombakan terhadap barisan ahli perbadanan agensi itu dengan melantik produser, Datuk Yusof Haslam sebagai Timbalan Pengerusi.

Ketika majlis pelantikannya, beliau turut menyuarakan harapan supaya semua penggiat seni terus memberikan sokongan padu terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Berita Harian X