Ahad, 2 Ogos 2015 | 9:45am

Raysha Rizrose kagumi Lisa Surihani


PELAKON, Raysha Rizrose.- Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Dewi Remaja 2014/2015, Raysha Rizrose cukup mengagumi aktres terkenal, Lisa Surihani. Isteri kepada Yusry Abdul Halim itu memberikan simbolik wanita yang hadir dengan keseimbangan pakej cantik dan pintar. Lisa belajar undang-undang sebelum ini dan Raysha juga akan melanjutkan pelajaran bidang yang sama.

Raysha yang baharu sahaja membintangi filem Dukun Doktor Dani terbitan Astro Shaw menyifatkan Lisa sebagai contoh terbaik yang ingin diikutinya.

"Saya pandang tinggi dan sentiasa mahu mencontohi Lisa Surihani. Dia sangat minimalis. Tanpa perlu bersolek tebal, personaliti dan minda Lisa melebihi kecantikan fizikal yang dimilikinya. Selain Lisa, saya juga kagumi Scha Alyahya dan Fazura. Mereka ada aura dan bijak bergaya. Hampir kebanyakan juara Dewi Remaja yang menang sebelum ini saya minat.

"Saya sepatutnya sambung belajar bulan ini tetapi dengan kemenangan ini saya perlu menangguh seketika apa yang dirancang. Saya mahu timba pengalaman dalam dunia seni terlebih dahulu. Insya-Allah lima tahun lagi, saya akan memenuhi impian untuk menuntut dalam bidang undang-undang," katanya.

Ditanya mengenai bayangan kakaknya, Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose yang terlebih dahulu bergelar anak seni, Raysha tidak melihat hal itu sebagai satu tekanan atau hal yang perlu diperbesarkan. Malah kini, dia enggan menjadikan hal itu sebagai perkara yang membantutkan keinginannya melakar nama di persada seni.

"Saya okey dengan bayangan itu. Mahu atau tidak saya perlu menangani dan berdepan dengan hal berkenaan. Tapi saya sudah buktikan kemenangan di Dewi Remaja beberapa bulan lalu bukan kerana kakak. Saya berdiri di atas kaki sendiri dan berjaya menapak sekali gus menjuarai pertandingan itu. Insya-Allah saya sudah bersedia untuk menceburi dunia ini.

"Saya kena bersedia daripada setiap aspek yang tak terduga. Saya kena didik diri untuk sentiasa belajar. Dalam hal ini, kakak saya tak lokek berkongsi tips, nasihat dan pengalaman mereka. Jelas mereka lebih berpengalaman. Nelydia dan Uqasha, mereka sangat menyokong. Dari kecil lagi kami begitu akrab dan berkongsi banyak perkara bersama.

"Menerusi kakak, saya dengan sendiri dapat melihat gambaran mengenai dunia hiburan yang sebenar. Nelydia berlakon di usia 12 tahun dan ketika itu saya masih kecil. Nelydia dan Uqasha juga pernah dikecam itu dan ini. Itu harga yang perlu dibayar selepas melangkah ke dunia seni ini.

"Saya tak gentar. Selagi kita tahu apa yang kita buat dan pandai bawa diri, ia takkan membantutkan minat saya sekalipun ada halangan mendatang," katanya.

Berita Harian X