Isnin, 3 Ogos 2015 | 12:49pm

IIB sumbang RM10j kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor

JOHOR BAHRU: Iskandar Investment Berhad (IIB) dan 18 rakan kongsi korporat menyumbang RM10 juta kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor bagi membantu pesakit kanser di Johor.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima cek sumbangan dari 18 syarikat terbabit pada Majlis Rumah Terbuka IIB, di sini sebentar tadi.

Turun berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan anakanda baginda, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, Sultan Johor mengumumkan baginda berkenan menyalurkan dana RM10 juta kepada terbabit yang ditubuhkan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan termasuk pembiayaan kos rawatan.

Kewujudan yayasan berkenaan berikutan keadaan kesihatan anakanda baginda, Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil yang sebelum ini disahkan menghidap kanser hati.

Presiden dan Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, dalam ucapannya berharap sokongan dan sumbangan itu dapat membantu yayasan mencapai objektif bagi menyediakan bantuan kepada pesakit kanser di Johor dalam usaha mendapatkan rawatan perubahan khas dan kos hospital.

"Hari ini (sumbangan) menunjukkan betapa kesedaran masyarakat sekeliling. Kemurahan hati yang ditunjukkan oleh rakan korporat kami ini satu perkara luar biasa apabila bersama-sama menyumbang keseluruhan RM10 juta kepada yayasan ini," katanya.

Berita Harian X