Selasa, 4 Ogos 2015 | 4:13pm

4 jawatan pengarah eksekutif baharu langkah transformasi DBKL - Tengku Adnan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. - Foto Syarafiq Abd Samad

KUALA LUMPUR: Penstrukturan semula Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperlihatkan empat jawatan Pengarah Eksekutif baharu sebagai langkah transformasi struktur organisasi itu tahun ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata jawatan Pengarah Eksekutif itu dinaiktaraf daripada jawatan Timbalan-timbalan Ketua Pengarah sebelum ini.

"Kali terakhir penstrukturan semula DBKL adalah pada 1 Julai 2011," katanya kepada pemberita pada sidang media di Majlis Rumah Terbuka Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL, di sini, hari ini.

Empat jawatan baharu yang diwujudkan itu memperlihatkan dua muka baharu iaitu Abdul Samad Lope Pihie, dilantik sebagai Pengarah Eksekutif (Pengurusan) dan Datuk Tan Keng Chok sebagai Pengarah Eksekutif Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan.

Dua lagi jawatan Pengarah Eksekutif akan diterajui oleh Datuk Normah Malik memegang portfolio Pembangunan Sosio Ekonomi dan Datuk Mohd Najib Mohd memegang Perancangan.

Sebelum ini, Normah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosio Ekonomi dan Mohd Najib Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan.

Tengku Adnan berkata, melalui penstrukturan organisasi DBKL, ia akan menyaksikan perubahan yang lebih efisyen dan responsif oleh pihak DBKL, selaras dengan wawasan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya bertaraf dunia menjelang 2020.

"Peranan dan fungsi DBKL untuk menjadi sebuah Pihak Berkuasa Tempatan yang terunggul perlu dimantapkan lagi supaya terus relevan," katanya.

Tengku Adnan juga mengumumkan Datuk Afandi Zahari dilantik sebagai pengerusi baharu bagi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru mengantikan Datuk Astaman Abdul Aziz berkuatkuasa hari ini.

Manakala Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Ketua Pengarah Eksekutif Pembangunan Kampung Baru menggantikan Naharudin Abdullah yang turut berkuatkuasa hari ini, katanya.

Tengku Adnan berkata, penstrukturan semula DBKL juga melibatkan penjenamaan semula beberapa jabatan dengan kenaikan gred beberapa pengarah di jabatan-jabatan DBKL.

Jabatan itu termasuk Jabatan Perkhidmatan Kawasan (Jabatan Baharu); Jabatan Perancangan Fizikal dan Bandar; Jabatan Pelaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan; Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti; Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi; Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal; Jabatan Perancangan Infrastruktur; Jabatan Perancangan Korporat; Jabatan Kebudayaan Kesenian, Pelancongan dan Sukan; serta Jabatan Audit Dalam.

Tengku Adnan berkata kakitangan DBKL baharu juga akan diambil selaras dengan penstrukturan semula organisasi itu bagi fasa kedua melibatkan Kumpulan Sokongan I dan II.

Katanya, penstrukturan itu sedang berlangsung dan dijangka akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk tujuan kelulusan pada akhir September ini.

"Dengan langkah penstrukturan yang sedang dan telah diambil, kita jangkakan strategi ini akan meningkatkan pendapatan DBKL dan mungkin pemberian bonus lebih tinggi untuk kakitangan.

"Pada tahun lalu, DBKL memberikan sebulan bonus kepada kakitangannya," katanya.

- BERNAMA

Berita Harian X