;
Selasa, 4 Ogos 2015 | 9:55pm
PENUMPANG mendaftar masuk di klia2. Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata tanggungjawab JIC termasuk pemeriksaan dan pemantauan berterusan kerja-kerja senggaraan yang dirancang dan penambahbaikan apron dan taxiway. - Foto Abd Rahim Rahmat

Segala langkah diambil jamin keselamatan awam di klia2

PUTRAJAYA: Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata pemantauan berterusan dan konsisten dilakukan bagi menangani sebarang isu operasi menerusi Jawatankuasa Pemeriksaan Bersama (JIC).

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata tanggungjawab JIC termasuk pemeriksaan dan pemantauan berterusan kerja-kerja senggaraan yang dirancang dan penambahbaikan apron dan taxiway.

Jawatankuasa itu, yang telah bermesyuarat 27 kali, dipengerusikan oleh Ketua Kejuruteraan KLIA2 MAHB, dan anggota-anggota lain termasuk Ketua Penolong Pengarah (JA)1 Airport Standards Division dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA), dan juga Pengurus Keselamatan Darat dan Pegawai-pegawai Keselamatan syarikat penerbangan AirAsia, AirAsia X dan Malindo.

MAHB berkata jawatankuasa keselamatan yang lain yang sedia wujud ialah Pasukan Keselamatan Landasan Kebangsaan dan Pasukan Keselamatan Landasan KLIA.

MAHB berkata pengendali lapangan terbang bagi klia2 mematuhi standard dan peraturan keselamatan ditetapkan oleh DCA.

"DCA, badan penyelia yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti penerbangan tempatan, mengeluarkan Persijilan Aerodrome untuk klia2 sebelum pembukaan rasminya.

"Persijilan Aerodrome mengesahkan bahawa klia2, terutama landasannya, apron parkir, taxiway, struktur bangunan terminal dan kawasan sekitar mematuhi peraturan 'International Civil Aviation Organisation (ICAO) Annex 14, Volume 1 dan Airport Standards Directive 103 (ASD 103)," katanya.

Selain itu, syarikat itu berkata Kementerian Pengangkutan menerusi DCA telah mentauliah dua badan bebas iaitu, IKRAM Premier Consulting dan ICAO bagi menjalankan penilaian untuk mengesahkan pematuhan KLIA terhadap standard tersebut.

"Semua langkah di atas merupakan inisiatif kolektif oleh semua pemegang kepentingan lapangan terbang demi menentukan klia2 tetap selamat dan sesuai untuk operasi," kata MAHB. - BERNAMA

135 dibaca
Berita Harian X