Rabu, 5 Ogos 2015 | 12:00am
SEMBURAN sabun digunakan dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Timur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.
MANGSA yang cedera dipindahkan untuk menerima rawatan awal. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

16 agensi kongsi kepakaran operasi SAR di laut

ANGGOTA APMM Tok Bali memantau aktiviti Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Timur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PERSEFAHAMAN antara agensi dan jabatan penyelamat sangat penting dalam memastikan kerjasama ketika melaksanakan tugas bagi sesuatu misi dapat dilakukan dengan lancar.

Sekiranya tiada persefahaman dan kerjasama yang baik antara agensi serta jabatan penyelamat pasti ia akan menyebabkan berlaku perselisihan atau kekaburan maklumat dalam melaksanakan tugas masing-masing terutamanya ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

Misalnya, ketika berlaku kecelakaan di laut seperti perlanggaran dan kebakaran kapal, tumpahan minyak, lemas dan sebagainya pasti membabitkan pelbagai pihak dalam usaha menyalurkan bantuan yang memerlukan kepakaran dari pelbagai unit di laut mahu pun di darat.

Bagi meningkatkan persefahaman kemahiran menyelamat unit laut dan darat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali, menganjurkan latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Timur yang membabitkan 16 agensi antaranya termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Polis Marin, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Laut.

BOT nelayan yang terbakar akibat tumpahan minyak di tengah lautan dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Timur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Pengarah Operasi Wilayah Maritim Timur, Laksamana Pertama (M) Yusof Ali, berkata latihan terbabit adalah bertujuan untuk mewujudkan rangkaian perhubungan menyelamat maritim dengan agensi luar komuniti tempatan.

Katanya, SAREX ini juga dapat meningkatkan persefahaman antara semua agensi atau  jabatan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat kerana masing-masing mempunyai prosedur operasi standard (SOP) tersendiri yang mungkin berbeza antara satu sama lain.  

"Dengan cara ini pihak penyelamat dapat menyelaraskan setiap pergerakan pasukan agensi atau jabatan yang terbabit dengan tugasan menyelamat.

"Latihan ini juga kita sudah tetapkan tugasan yang akan dilaksanakan oleh setiap agensi dan jabatan di mana mereka perlu melaksanakan tugas dalam situasi menyelamatkan kapal yang membawa minyak terbakar di tengah lautan dan terdapat mangsa yang cedera serta lemas.

ANGGOTA bomba menyelamatkan mangsa menggunakan semburan sabun di tengah lautan dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) Wilayah Timur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar.

"Dengan ini kita akan selaraskan perhubungan mereka supaya dapat berhubung antara satu sama lain bagi mewujudkan persefahaman dalam melaksanakan tugas menyelamat ini antara agensi yang berlainan. Ini supaya kita sentiasa bersedia apabila berlaku sesuatu di kemudian hari dan kita sudah tahu apa yang patut dibuat," katanya pada sidang media selepas tamat sesi latihan SAREX di pejabat APMM Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan, baru-baru ini.

Seramai 300 anggota dan pegawai daripada 19 agensi dan jabatan penyelamat terbabit dalam latihan itu. 

Latihan yang dilaksanakan itu juga turut membabitkan proses pengenalan mencari dan menyelamat (SAR), taklimat agensi berkaitan, latihan simulasi, latihan di laut, kecemasan serta bantuan hospital.

Yusof berkata walaupun latihan yang dijalankan agak kecil tetapi objektif yang dikehendaki tercapai dengan teratur.

Katanya, dengan kerjasama dan persefahaman yang baik wujud antara semua agensi dan jabatan penyelamat ini dapat memberikan gambaran mengenai tugas masing-masing dalam menangani situasi sebenar yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

ANGGOTA bomba menjalankan misi menyelamat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

"Pada latihan ini, kami berjaya memaksimumkan pembabitan jabatan dan semuanya memberikan kerjasama yang baik dalam melaksanakan tugas sehingga misi menyelamat ini berjalan lancar mengikut peraturan sewajarnya walaupun sekadar latihan.

"Dengan kerjasama yang wujud ini kita dapat kenali dengan lebih rapat antara satu sama lain walaupun daripada agensi yang berbeza.

Selain itu dapat mengemaskini maklumat pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu kes dari setiap agensi dan apabila berlaku kes sebenar kita dapat berhubung terus dengan mereka yang berkenaan," katanya.  

Pegawai bomba Bahagian Operasi Tunjong Che Fauzi Che Omar berkata, seramai 15 anggota bomba yang terbabit  dan lima aset bomba turut digunakan dalam latihan ini selain kapal KD Amanah dan bot Penggalang dari APMM.

PETUGAS melakukan pemeriksaan ke atas mangsa yang berjaya diselamatkan. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, pihaknya akan berikan kerjasama sepenuhnya dalam setiap operasi mencari dan menyelamat yang diadakan bagi menjamin keselamatan orang awam terjaga.

"Program ini perlu diteruskan setiap tahun bagi menyelaraskan SOP masing-masing dan dengan adanya penyelarasan ini tugas menyalurkan bantuan mencari dan menyelamat dapat berjalan dengan lancar apabila semua agensi dan jabatan sudah mengetahui tanggungjawab yang perlu mereka laksanakan bagi sesuatu misi," katanya.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pasir Puteh, Mohd Rizal Hasmarli Hashim pula memaklumkan hasil daripada latihan itu pihaknya dapat mengoptimumkan serta menyelaraskan penggunaan alat komunikasi antara semua agensi dengan menggunakan satu saluran.

Jelasnya, setiap agensi yang berbeza yang mungkin menyukarkan untuk mereka berhubung dan menyampaikan maklumat.

Berita Harian X