Rabu, 5 Ogos 2015 | 12:02am

Kes belia bunuh diri makin serius


CUBAAN bunuh diri dalam kalangan belia di negara ini amat membimbangkan apabila pakar psikiatri menerima kes baharu yang dirujuk kepada mereka setiap hari.

Persatuan Psikiatri Malaysia mendedahkan 90 peratus daripada kes cubaan bunuh diri yang dirujuk kepada pakar di semua hospital dalam negara, membabitkan belia.

Setiausahanya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, berkata senario itu adalah berdasarkan perkongsian maklumat dalam kalangan ahli persatuan yang mengesahkan menerima kes baharu cubaan bunuh diri dalam kalangan belia setiap hari.

"Di negara ini, tidak ada satu sistem data yang tepat untuk merekodkan jumlah cubaan bunuh diri dan mati akibat cubaan itu, tetapi berdasarkan pakar psikiatri yang bernaung di bawah persatuan ini, senario itu di negara ini semakin serius.


SETIAUSAHA Persatuan Psikiatri Malaysia, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari. - Foto Abdullah Yusof

"Ia amat ketara kerana pada sekitar tahun 2000, hanya satu atau dua kes diterima pakar psikiatri dalam seminggu, tapi sekarang ia berlaku setiap hari," katanya.

Daripada semua kes yang dirujuk, kebanyakannya adalah belia wanita tetapi berdasarkan maklumat lain, lelaki adalah golongan paling ramai berjaya membunuh diri disebabkan kaedah yang lebih ekstrem.

Dr Muhammad Muhsin berkata, kaedah bunuh diri yang digunakan lelaki lebih ekstrem seperti menggantung diri berbanding wanita yang mengelar tangan dan makan pil secara berlebihan. Namun, 15 peratus daripada wanita ini berulang kali mencuba sehingga ada yang berjaya.

"Ada banyak juga kes cuba bunuh diri semata-mata kerana mahukan perhatian dan mereka akan ulang berkali-kali tetapi ada yang nekad dengan mengubah kaedah bunuh diri sehingga berjaya. Berdasarkan pemantauan kami, satu daripada tujuh kes cubaan bunuh diri, berakhir dengan kematian.


GOLONGAN lelaki adalah yang paling ramai berjaya membunuh diri disebabkan kaedah yang digunakan lebih ekstrem. - Foto NSTP

"Kebanyakan mereka cuba bunuh diri berikutan masalah perhubungan dan tekanan kehidupan seperti kerjaya. Ada yang cuba berbuat demikian kerana tidak dinaikkan pangkat atau gred selain berasa tidak diberi pengiktirafan sewajarnya di tempat kerja.

"Selain itu, kebanyakan kes bunuh diri juga bermula daripada kemurungan melampau dan didapati 60 peratus pesakit kemurungan di negara ini adalah belia. Akibat kemurungan ini, ada yang menyendiri berminggu-minggu, hilang fokus dan akhirnya membuat keputusan untuk membunuh diri," katanya.

Katanya, pelbagai faktor semasa menambah tekanan kepada belia, antaranya kekangan ekonomi, selain berdepan pelbagai tekanan siber seperti terdedah dengan maklumat palsu serta mainan emosi akibat bahan dalam Internet.

"Kajian Mobiliti Kebangsaan melaporkan sebanyak 11 peratus rakyat di negara ini berdepan masalah psikiatri dengan 20 peratus remaja ada masalah gangguan psikologi dan berisiko mengalami masalah mental.


SEORANG wanita yang mengalami masalah kemurungan cuba terjun daripada tingkat 13 sebuah hotel di Subang Jaya, berjaya dipujuk anggota bomba dan penyelamat. - Foto NSTP

"Ramai juga belia terjebak dengan perjudian di siber, yang menyebabkan mereka berhutang ratusan ribu ringgit dengan 'along'. Ini semua kerana mereka mahu cari sumber kewangan segera untuk tampung masalah mereka.

"Gejala dadah juga amat serius dalam kalangan belia. Dadah jenis baharu seperti syabu memang memberi kesan kepada emosi mereka dan semua faktor ini disebabkan tekanan perasaan kerana tidak mampu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa. Akhirnya, mereka cuba bunuh diri," katanya.

Ia menyokong kenyataan beliau mengenai kebanyakan kes cubaan bunuh diri berlaku di bandar berikutan tekanan hidup dan golongan berpendapatan rendah, lebih berisiko.

"Kita perlu pandang serius senario ini kerana menjelang 2020, kemurungan bakal menjadi penyakit kedua tertinggi di dunia. Negara ini bakal berdepan lebih banyak kes sebegini sebagai negara maju," katanya yang berkhidmat sebagai pakar psikiatri di Hospital Universiti Malaya.

Remaja, belia cenderung cederakan diri


GOLONGAN belia mencatatkan rekod yang paling ramai membunuh diri pada tahun 2010.

Belia berusia antara 25 tahun dan 34 tahun adalah kumpulan usia paling ramai membunuh diri dengan 112 kes direkodkan pada tahun 2010, berdasarkan Senarai Daftar Bunuh Diri Kebangsaan, Kementerian Kesihatan.

Meskipun data yang dikeluarkan kementerian itu hanya sehingga tahun 2010, dengan tiada data baharu dikumpulkan selepas itu, rekod Pusat Informatik Kesihatan, Kementerian Kesihatan, mengenai cubaan mencederakan diri sehingga tahun 2013 memperlihatkan situasi membimbangkan.

Ini kerana, daripada data itu, dilihat kecenderungan remaja dan belia mencederakan diri begitu ketara dan ia memungkinkan mereka untuk melakukan tindakan lebih ekstrem seperti membunuh diri.

Rekod terkini itu menunjukkan menunjukkan seramai 221 remaja berusia 15 tahun hingga 19 tahun mencederakan diri sendiri dengan dua kematian direkodkan dan 204 kes mencederakan diri sendiri dalam kalangan kumpulan berusia 20 tahun hingga 24 tahun dengan empat kematian, pada tahun 2013.

Paling ramai mati akibat mencederakan diri sendiri ialah mereka yang dalam kumpulan usia 25 tahun hingga 29 tahun iaitu seramai 11 orang.

Wanita pula direkodkan sebagai paling ramai mencederakan diri sendiri iaitu 638 kes dimasukkan ke wad hospital kerajaan pada tahun 2013 dan lelaki pula seramai 459 orang.

Meskipun angka itu dilihat kecil, ia hanya rekod untuk kes mencederakan diri sendiri yang direkodkan selepas dimasukkan ke wad di hospital kerajaan sedangkan masih banyak lagi kes seumpamanya termasuk cubaan bunuh diri tidak dilaporkan.

Berita Harian X