Rabu, 5 Ogos 2015 | 12:03am
DARI kiri: Shaheizy Sam, Bung Mokhtar, Zizie, Kathy Fauziah bersama keluarga ketika rumah terbuka Aidilfitri di Sering Ukay Hulu Klang, Ampang. - Foto Shiraz Ali
DATUK Bung Mokhtar melayan tetamu yang hadir pada rumah terbuka Aidilfitri di Sering Ukay Hulu Klang, Ampang. - Foto Shiraz Ali

Naila Nurjannah penyeri rumah tangga Zizie Ezette


SEKIAN lama menghilang daripada industri seni selepas berumah tangga dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, ramai peminat merindui dan ternanti-nanti kisah terbaharunya.

Kemunculan Zizie Ezette pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, April lalu, sedikit mengubati kerinduan peminat terhadap aktres berkulit cerah ini.

Namun, foto dirinya berhijab yang dimuat naik ke laman sosial Instagram, baru-baru ini, mencuri perhatian peminat Zizie yang tertanya-tanya mengenai perubahan dirinya itu.

Menjelaskan perubahannya itu bersifat kekal selepas pulang menunaikan ibadat umrah bersama suami, baru-baru ini, Zizie mengakui jalan yang dipilihnya itu kerana Allah, bukan atas desakan sesiapa.

"Saya lebih selesa untuk tidak bercerita soal hijab. Ini kerana bagi saya, apa saja ibadat atau perkara yang baik untuk Allah, kita tidak perlu hebah atau perjelaskan.

NAILA Nurjannah sempurnakan kehidupan Zizie. - Foto Shiraz Ali

"Saya memilih untuk tidak bercakap banyak pasal berhijab kerana takut kalau apa yang kita cakap ini diduga Allah kelak. Jadi, biarlah saya dan Allah saja yang tahu.

"Cukuplah sekadar apa yang orang nampak. Doakan yang terbaik untuk saya semoga saya terus beristiqamah... Insya Allah," katanya.

Terus bercerita, Zizie memberitahu, perubahan dirinya itu disambut baik suami serta keluarga. Malah, beliau tampil lebih anggun dan menawan sejak bertudung.

"Mana ada suami yang tidak suka isterinya berhijab, lebih-lebih lagi suami saya orang yang beragama. Alhamdulillah, perubahan saya ini kerana Allah bukan atas desakan suami," jelasnya.

Sekian lama menanti untuk memiliki cahaya mata sendiri, kehadiran Naila Nurjannah, yang berusia tujuh bulan memberi sinar baharu dalam kebahagiaan rumah tangga mereka.

MAHLIGAI dibina bersama Datuk Bung Mokhtar Radin sejak enam tahun lalu bertambah seri dengan kehadiran Naila Nurjannah. - Foto Shiraz Ali

Meskipun bukan anak kandung, kehadiran puteri itu merapatkan lagi hubungan mereka suami isteri.

"Saya ambil keputusan untuk mengambil anak angkat ini sejak pulang daripada umrah selepas Aidilfitri, baru-baru ini. Isu nak ambil anak angkat ini sudah lama, tetapi asyik tertangguh.

"Sejak tahun lalu, hati saya kuat untuk mengambil anak angkat. Tetapi tahun ini, perasaan itu lebih kuat. Lagipun, nak ambil anak angkat bukannya mudah kerana banyak prosedur yang perlu dilalui," katanya.

Tidak terlintas di fikiran dengan mengambil anak daripada sebuah keluarga di Sabah ini akan memberi harapan kepadanya untuk memiliki zuriat sendiri. Pelakon berusia 37 tahun ini berserah kepada ketentuan Ilahi.

"Saya tidak terfikir dengan mengambil anak angkat ini akan ada rezeki untuk memiliki zuriat sendiri pada masa depan.

"Insya-Allah, kalau ada rezeki saya terima. Tetapi saya tidak berharap kerana saya bukan seorang yang suka berharap," katanya.

Kerinduan Zizie kepada dunia seni masih menebal walaupun sudah lebih lima tahun meninggalkannya. Namun, kesibukan menguruskan rumah tangga membataskan dirinya untuk kembali aktif.

DARI kiri: Shaheizy Sam, Zizie dan Kathy Fauziah bersama Naila Nurjenna ketika rumah terbuka Aidilfitri di Sering Ukay Hulu Klang. - Foto Shiraz Ali

Kakak kepada pelakon, Shaheizy Sam itu menyimpan hasrat membuat kemunculan semula sebagai pelakon dan penerbit, tahun depan.

"Kita tidak boleh lari daripada bidang yang diceburi sejak sekian lama. Selepas kita masuk ke bidang ini, memang sukar untuk kita tinggalkan. Malah, suami saya sendiri tidak pernah melarang saya untuk terus terbabit dalam bidang seni.

"Beliau pun bertanya kenapa saya berhenti? Dari hari pertama saya berkahwin, suami cakap kenapa harus berhenti sebab awak ada bakat yang bagus dan sepatutnya kena teruskan.

"Cuma, saya asyik kata, nantilah biarlah uruskan rumah tangga dulu. Jadi daripada rehat sekejap, sampailah sekarang. Insya-Allah mungkin tahun depan saya akan kembali berlakon," katanya.

Sejak berumah tangga, aktiviti Zizie lebih kepada menguruskan suami dan pada masa yang sama, meneruskan aktiviti bersama ibu serta rakannya.

Berita Harian X