Rabu, 5 Ogos 2015 | 1:40am

Macam mimpi, tercalon dua kategori di FFM 27 - Fazura


Fazura

KUALA LUMPUR: Fazura dilihat sudah mempamerkan kecemerlangan awal bagi pencalonan dua kategori di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 apabila bolos kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik masing masing untuk filem Manisnya Cinta Di Cappadocia dan Kami Histeria.

Senarai top 5 FFM 27 diumumkan petang semalam di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Tak ketinggalan Izara Aishah turut dicalonkan dua kategori iaitu Pelakon Harapan Wanita dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Kedua pencalonan Izara itu bagi filem Sejoli arahan Osman Ali.

Pencalonan awal FFM 27 untuk Fazura ini ironinya menamatkan penantian beliau sendiri yang pernah memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita untuk anugerah yang sama edisi ke 17. Cuma soal sama ada Fazura akan menggenggam trofi FFM 27 atau tidak hanya akan terjawab 5 September depan ketika malam kemuncak berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

"Saya sangat terkejut dengan dua pencalonan ini. Saya rasa seperti bermimpi dan cuba untuk kembali sedar daripada lamunan. Syukur ke hadrat Ilahi. Terima kasih pada juri yang menghargai hasil kerja saya," katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai pelakon wanita lain yang turut bolos di FFM 27, Fazura percaya setiap yang dicalonkan mempunyai kekuatan tersendiri. Untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, Maya Karin dan Lisa Surihani turut bersaing dengannya.

"Izara Aishah juga saya percaya mampu memberi saingan. Saya sendiri bersaing dengannya untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik," kata pemilik butik House Of Doll di Bangsar itu.

Dalam perkembangan lain, Fazura juga dalam debaran untuk mempamerkan koleksi fesyen House Of Doll beliau di pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur yang akan berlangsung di pusat membeli Pavilion dari 12 hingga 16 Ogos ini. Slot Fazura pada 14 Ogos sebelah malam.

"Tahun tahun sebelumnya saya pergi ke acara fesyen itu sebagai tanda sokongan kepada rakan pereka fesyen. Cuma tahun lalu terdetik juga dalam hati nak juga turut serta peragakan koleksi baju sendiri.

"Tapi Alhamdulillah rezeki saya dan ia jadi kenyataan seperti yang diingini. Saya diajak turut serta. Saya kerja keras dari awal sampai akhir untuk menyiapkan 32 persalinan untuk diperagakan nanti oleh model.

"Syukur juga saya berjaya siapkan pakaian itu dalam tempoh tiga minggu. Saya jugalah yang ke luar negara sendiri untuk mendapatkan material kain diingini. Teruja semestinya teruja untuk terbabit di acara fesyen itu," kata penyanyi lagu Sayangi Dirimu itu.

181 dibaca
Berita Harian X