Khamis, 6 Ogos 2015 | 8:33pm

AirAsia ambil tindakan tegas terhadap MAHB


KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar pada majlis menjalin Kerjasama dan penajaan antara Akademi Badminton AirAsia dan Fleet, di Sunway Resort and Spa Hotel. - Foto Osman Adnan

PETALING JAYA: AirAsia Bhd tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan tegas terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan ketidakcekapan pengendali lapangan terbang itu yang menyebabkan masalah berterusan kepada syarikat penerbangan tambang rendah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif, Aireen Omar, berkata masalah berpanjangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) itu telah membuang masa dan perbelanjaan AirAsia.

Beliau berkata, syarikat telah membangkitkan isu berkenaan kepada MAHB selama lebih setahun, malah kerap memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenai operasi keselamatan di klia2 sebelum ia dibuka.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak pernah diselesaikan dan terus mengganggu operasinya di lapangan itu, menyebabkan pengendali terbesar di klia2 itu kecewa.

"Ia menjejaskan penumpang kami dari segi kelewatan, termasuk juruterbang, jurutera dan kakitangan kami berhubung perkara lain.

"Ia tidak boleh berterusan seperti ini di mana kami perlu menampung kekurangan mereka (MAHB)," katanya selepas mengumumkan kerjasama dengan Fleet International Holdings Sdn Bhd di sini, hari ini.

Aireen berkata setakat ini, syarikat tidak menerima sebarang berita berhubung tuntutan undang-undang untuk kerugian berjumlah RM409.44 juta daripada MAHB.

"Kita akan lihat kerana perkara ini bukan suatu yang kami fikirkan dalam tempoh semalaman," katanya.

Aireen berkata, sebagai pengendali lapangan terbang, MAHB seharusnya lebih menyokong dan melihat syarikat penerbangan sebagai rakan perniagaan mereka kerana pada masa ini, kebanyakan tempahan pesawat yang tiba hampir setiap bulan, terpaksa dihantar ke Thailand dan Indonesia.

"Itu memalukan kerana kita boleh membina kemudahan yang lebih baik di negara ini. Tetapi tidak, kini Thailand yang lebih meraihnya, pengendali lapangan terbang Thai lebih menampung dan dapat memenuhi keperluan syarikat penerbangan tambang rendah berbanding di Malaysia," katanya. - BERNAMA

247 dibaca
Berita Harian X