Jumaat, 7 Ogos 2015 | 12:05am
JETI Batu Musang, Batu Kawan di Pulau Pinang. - Foto Danial Saad
PERKAMPUNGAN nelayan tradisional di Pulau Aman. - Foto Danial Saad
SEKOLAH Kebangsaan Pulau Aman. - Foto Danial Saad
ANTARA rumah yang telah roboh setelah ditinggalkan penghuni. - Foto Danial Saad
ANTARA rumah di perkampungan Pulau Aman, satu-satunya kmpung nelayan Melayu tradisional yang masih kekal keasliannya. - Foto Danial Saad
PULAU Aman dahulunya didiami penduduk Cina dan Melayu tetapi kini, ia dihuni seratus peratus penghuni Melayu. - Foto Danial Saad
RESORT terapung di perkampungan Pulau Aman. - Foto Danial Saad

Pulau Aman 'bebas kereta', simpan 1,001 sejarah


DALAM kepesatan pembangunan Pulau Pinang, wujud perkampungan nelayan tradisional di sebuah pulau yang terletak kira-kira 16 batu nautika dari tanah besar Seberang Prai dan lapan kilometer (km) dari Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pulau seluas 116.5 hektar itu, didiami kira-kira 50 keluarga dengan jumlah populasi seramai 270 orang. `Setenang' namanya, Pulau Aman adalah satu-satunya kampung nelayan Melayu tradisional yang masih kekal keasliannya hingga ke hari ini.

Pulau Aman dihubungkan dengan jalan laut melalui Jeti Batu Musang dekat Batu Kawan dengan menaiki bot tambang kira-kira 10 minit perjalanan dengan bayaran RM3 sehala. Menariknya, pulau ini bukan sekadar sebuah lokasi percutian yang menarik, malah menyimpan 1,001 sejarah dan tempat menarik untuk dikunjungi.

Pulau Aman adalah sebuah pulau yang 'bebas kereta'. Di sini, penduduk hanya berjalan kaki, berbasikal serta menaiki motosikal dengan menggunakan laluan pejalan kaki konkrit yang menghubungkan keseluruhan pulau ini.

Ketika ini, lebih 90 peratus muka bumi di Pulau Aman masih lagi diselimuti hutan dan penduduk di sini adalah generasi ketujuh yang mendiami pulau ini. Seperti generasi terdahulu, rata-rata mereka adalah nelayan pantai sementara, sejumlah kecil adalah usahawan kampung dan juga pengusaha bot.

 

Berkesempatan berjumpa dengan penduduk paling veteran di perkampungan nelayan itu, Ismail Darus, 88, berkongsi cerita dan sejarah mengenai pulau berkenaan.

PULAU Aman adalah sebuah pulau yang 'bebas kereta'. Di sini, penduduk hanya berjalan kaki, berbasikal serta menaiki motosikal dengan menggunakan laluan pejalan kaki konkrit yang menghubungkan keseluruhan pulau. - Foto Danial Saad

ANTARA pelancong yang teruja ketika sampai di Pulau Aman. - Foto Danial Saad

Beliau berkata, sejarah mengenai Pulau Aman diceritakan secara lisan oleh orang tua-tua dahulu, yang mendakwa pulau itu dibuka pada abad ke-17 iaitu sebelum tertubuhnya Pulau Pinang.

Bekas guru agama itu berkata, sejarah lisan yang diceritakan orang lama mendakwa pulau itu dibuka oleh kerabat diraja Kedah bernama Tengku Sulong, yang berkahwin dan beranak-pinak di pulau berkenaan.

"Tengku Sulong datang ke pulau ini selepas berasakan ia adalah tempat yang sesuai untuknya menjauhkan diri daripada keluarganya di Kedah. Tengku Sulong dikatakan merajuk selepas tidak ditabalkan sebagai Sultan pada ketika itu berikutan tempatnya digantikan dengan adiknya.

 

"Keadaan itu sekali gus mengecilkan hati Tengku Sulong yang kemudian nekad meninggalkan Kedah. Selepas lama bermastautin di pulau ini bersama isterinya, baginda dikurniakan beberapa orang anak dan seorang daripadanya adalah Tengku Hamid. Justeru, dari keturunan Tengku Hamid yang membawa sejarah keturunannya hingga ke hari ini di pulau ini," katanya.

Bercerita lanjut, Ismail berkata, selepas British bertapak di Pulau Pinang, perompak dan lanun dikatakan bermaharajalela di laut dengan menjadikan Pulau Gedung yang juga sebahagian Pulau Aman sebagai tempat untuk meletakkan barangan dagangan yang dirompak mereka.

 

"Pulau Gedung menjadi 'lubuk' tempat lanun ini berehat sehinggakan ada satu kawasan di Pulau Gedong diberi nama Batu Perompak.

PETA Pulau Aman, Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Danial Saad

"Hakikatnya kedudukan Pulau Gedung dan Pulau Aman adalah bersebelahan dan ia boleh dilihat dengan jelas dari Jambatan Pulau Pinang. Bagaimanapun, hanya Pulau Aman yang berpenghuni kerana penduduk meninggalkan Pulau Gedung selepas ia menjadi sarang persembunyian lanun pada abad ke-18," katanya.

Berdasarkan cerita, Pulau Gedung mendapat nama selepas penjajah British menguasai kawasan itu dan kemudiannya menempatkan gedung simpanan bahan letupan lalu dijadikan ia kawasan larangan.

Sebagai orang lama di Pulau Aman, Ismail berkata, pada sekitar 1940-an, pulau itu didiami oleh penduduk Melayu dan Cina, yang bekerja sebagai nelayan tradisional.

Namun, katanya, berlaku sedikit perselisihan faham menyebabkan masyarakat Cina yang mendiami pulau itu berhijrah ke tanah besar pada tahun 1961 dan sehingga kini, Pulau Aman didiami 100 peratus masyarakat Melayu.

"Lebih membanggakan, Ketua Polis Negara yang pertama, Tun Mohamed Salleh Ismael berasal dari Pulau Aman," katanya.

 

Ismail berkata, tarikan utama di Pulau Aman adalah kewujudan sebuah telaga tua yang dinamakan Telaga Emas.

Mengikut sejarah, telaga itu digali oleh seorang penduduk pada tahun 1789 untuk kegunaan sendiri, namun beliau menjumpai batu yang berkilauan seakan emas.

SETIAP pengunjung yang datang ke Pulau Aman tidak seharusnya melepaskan peluang membasuh tubuh dan muka dengan air telaga berkenaan kerana ia sangat sejuk dan menyegarkan.. - Foto Danial Saad

"Ketika menggali telaga itu, pemuda berkenaan menjumpai batu berkilau-kilau seakan-akan berwarna emas. Perkara itu sampai ke pengetahuan British dan sebagai pihak berkuasa yang memerintah, British bertindak mengawal telaga berkenaan.

"British mengambil ketul-ketul batu berkenaan untuk diuji, malangnya batu itu tidak cair menjadi emas dan tinggallah telaga berkenaan dalam keadaan itu sehingga ke hari ini," katanya.

Beliau berkata, Telaga Emas itu mempunyai banyak jasa kepada penduduk di Pulau Aman. Ia membekalkan sumber air terutama ketika musim kering dan kemarau.

"Air di telaga itu tidak pernah putus sejak ia digali dan lebih unik lagi apabila air tawar dalam telaga dan air masin dari laut tidak bercampur walaupun terletak bersebelahan antara satu sama lain.

"Melihatkan telaga ini menjadi tumpuan pengunjung, termasuk pelancong yang berkunjung ke pulau ini, telaga ini ditambah baik dan digali lebih luas," katanya.

Ismail berkata, setiap pengunjung yang datang ke Pulau Aman tidak seharusnya melepaskan peluang membasuh tubuh dan muka dengan air telaga berkenaan kerana ia sangat sejuk dan menyegarkan.

KANAK-KANAK bermandi air laut di tepi rumah. - Foto Danial Saad

"Sehingga ke hari ini, sisi tebing telaga itu berkilau-kilau kerana warna batu yang berwarna keperangan terutama ketika terkena cahaya matahari," katanya.

Selain itu, jelas Ismail, Pulau Aman mempunyai satu lagi keunikan iaitu kewujudan sebatang pokok sukun yang ditanam pada tahun 1890 oleh seorang guru agama, Tok Awang Akib. Pokok itu disahkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sebagai pokok sukun tertua di Malaysia.

"Pulau Aman terkenal dengan buah sukun kerana ramai berpendapat buah sukun yang ditanam di pulau ini enak dan tidak sama dengan sukun yang ditanam di tempat lain. Malah, ada pihak yang pernah membawa benih buah sukun dari pulau ini untuk ditanam di kawasan lain, namun rasanya tidak sama seperti pokok di Pulau Aman.

"Mungkin kerana tanah di kawasan pulau ini yang bercampur dengan air masin menyebabkan buah sukun di pulau ini lebih sedap dan berlemak. Justeru, melihat kepada potensi buah sukun ini, ia dijadikan industri hiliran penduduk kampung yang mengusahakan kerepek sukun untuk dijual," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X