Jumaat, 7 Ogos 2015 | 8:34am
LAKONAN Dafi dan Remy Ishak dalam teater Maduku Kalut Returns. - Foto ihsan Mask Team

Dafi cabar diri bawa watak lelaki lembut


DAFI mencabar dirinya untuk melakonkan watak lelaki lembut menerusi watak Amy Amiro dalam teater Maduku Kalut Returns. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Watak lelaki lembut menerusi filem, drama atau teater lebih bersifat gurauan dan menyerlahkan sisi lucu melalui aksi liuk lentuk, lenggang lenggok dan solekan mampan.

Hakikatnya, di negara kita ada pelakon lelaki yang berani mengambil watak seumpama itu antaranya Imuda, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Awie, Fizz Fairuz, Rusdi Ramli dan Norman Hakim.

Terbaharu, penyanyi yang juga pelakon, Dafi turut mencabar dirinya untuk melakonkan watak lelaki lembut menerusi watak Amy Amiro dalam teater Maduku Kalut Returns.

Dunia teater juga bukan asing bagi penyanyi lagu Bila Terasa Rindu itu. Dafi pernah terbabit menerusi teater Di Bawah Lindungan Kaabah, Kenangan Mengusik Jiwa 60-an dan Dreamgirls.

Menariknya kesemua teater yang dilakonkan Dafi dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya. Teater yang sama (Maduku Kalut) pernah dipentaskan di Lambang Sari, Istana Budaya pada 2013.

Namun untuk pementasan kali kedua ini, teater terbitan Mask Team ini dipersembahkan kepada skala yang lebih besar menggunakan pentas Panggung Sari pula bermula 7 hingga 9 Ogos ini.

Watak Amy Amiro itu asalnya dilakonkan Karl Shafek. Malah watak utama dilakonkan Izzue juga digantikan dengan Remy Ishak.

"Tak timbul isu saya takut dicop lelaki lembut kerana melakonkan watak sebegini. Saya hanya menjalankan amanah dengan menghidupkan watak dan amanah yang diberikan. Dahulu tak saya nafikan watak begini banyak menakutkan saya.


ANTARA babak watak lelaki lembut yang dilakonkan Dafi. - Foto ihsan Mask Team


ANTARA pelakon ketika mengadakan latihan teater Maduku Kalut Returns di Istana Budaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Sekarang ketakutan itu berkurangan kerana saya rasa di alaf baru yang serba maju dan kita didedahkan dengan pelbagai perkara, masyarakat sudah tahu nak bezakan apa itu realiti dan apa itu lakonan.

"Lalu takkan terpengaruh dengan lakonan bulat bulat dan dengan apa yang penonton lihat di atas pentas. Kalau ada yang skeptikal pun, mungkin ada yang segelintir masih berfikiran sempit dan hanya tahu nak menghentam keromo serta fikir negatif sahaja.

"Saya pilih untuk mengabaikan orang sebegitu dan berdoa mereka pantas berubah suatu hari nanti. Tapi itu tak bererti saya tak boleh dikritik, cuma saya pilih menerima kritikan membina sahaja.

"Yang penting peminat, kawan, keluarga dan diri tahu yang ini hanya sekadar menjalankan amanah Yang diberikan atas paksi mencuba sesuatu yang baharu," katanya.

Biarpun dianggap paling "junior" atau masih hijau di pentas teater di kalangan pelakon yang terbabit, Dafi tak menafikan terbit perasaan tertekan. Pelakon lain yang terbabit seperti Jihan Muse, Sherry Alhadad dan Nad Zainal.

"Alhamdulillah saya dikelilingi pemain teater yang sudah ada asas lakonan teater. Jadi dibandingkan dengan saya yang tak pakar, memang ada tekanan. Tapi hasil tekanan itu sangat positif. Ia buat saya mahu bekerja kuat lagi untuk sebaris dengan mereka. Pelakon lain juga tak lokek berkongsi pengalaman, nasihat dan pendapat.


SHERRY Alhadad (kanan) ketika mengadakan latihan teater Maduku Kalut Returns di Istana Budaya. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

"Saya ambil kesempatan ini untuk menyerap segala yang diterima dan dikongsi buat bekalan mendatang. Kami seperti keluarga besar dan saya rasa amat dirahmati.

"Saya juga dapat kawan baharu yang selama ini kenal begitu sahaja tetapi sekarang kian rapat. Ada juga yang rapat tapi tak pernah bekerjasama. Kini kami satu pentas," katanya.

Malam ini, pementasan pertama dan pratonton media diadakan serentak dan justeru itu, Dafi tidak dapat menyembunyikan debaran yang kian memuncak.

"Saya memang sangat gementar biarpun sudah pernah beraksi di pentas teater. Cuma kali ini Maduku Kalut Returns bukan teater berpaksikan muzikal langsung selain karakter yang berbeza dan pertama kali dibawa yang sangat penting dalam teater ini.

"Saya juga teruja untuk mempersembahkannya untuk tiga hari selepas bertungkus lumus berlatih lebih sebulan.

"Apapun pembabitan untuk teater ini menjadi memori dan pengalaman indah lagi berharga yang takkan dilupakan. Terima kasih Mask Team dan Istana Budaya atas peluang ini. Jangan lupa dapatkan tiket menonton teater Maduku Kalut Returns ya!. Ia teater yang wajib ditonton," katanya.

Tiket menonton teater ini boleh dibeli menerusi www.airasiaredtix.com. Tiket dijual pada harga RM35, RM45, RM65, RM85, RM105 dan RM155 (platinum).

Ia mula dipentaskan malam ini hingga Ahad ini. Pada 8 Ogos turut ada pementasan sebelah siang jam 3 petang.

Berita Harian X