Jumaat, 7 Ogos 2015 | 8:41am
ANTARA babak lakonan Lisa dalam filem Dendam Orang Mati.

Sarat mengandung, Lisa Surihani tak dapat bersama FFM 27


LISA sedang sarat mengandung anak pertamanya hasil perkongsian hidup dengan Yusry. - Foto Instagram

KUALA LUMPUR: Kalau dikira pencalonan terbaharu, Lisa Surihani untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM), sudah empat kali namanya dicalonkan dalam kategori berkenaan.

Tiga rekod terdahulu pencalonan kategori sama, isteri kepada Yusry Abdul Halim itu sudah menang dua kali.

Pertama kali pada FFM ke-23 (2010) dan FFM ke-26 (2013) apabila masing-masing muncul untuk filem Lagenda Budak Setan dan Istanbul Aku Datang.

Pada FFM ke-24, pencalonan Lisa untuk kategori itu bagi filem Sekali Lagi tidak menyebelahinya, sebalik tuah kemenangan jatuh kepada pelakon Eja menerusi filem Janin.

Apakah FFM 27 yang akan berlangsung pada 5 September depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) akan menyebelahi Lisa sekali lagi untuk menggenggam trofi?

Kali ini, kategori itu melihat persaingan sengit Lisa berentap dengan beberapa nama besar seperti Maya Karin dan Fazura.

Dua lagi calon lain ialah Sara Ali dan Dawn Cheong. Lisa bertanding di bawah filem Dendam Orang Mati arahan Jason Chong terbitan KRU Studios.


LISA bergandingan dengan Fizz Fairuz dalam filem Dendam Orang Mati.

Sekalipun filem ini tidak mendapat sambutan menggalakkan, ia sebenarnya sebuah filem yang patut ditonton.

Fizz Fairuz turut bergandingan dengan Lisa dalam filem itu buat julung kali. Lisa membawakan watak pesakit mental yang menghuni di tingkat empat di sebuah flat usang. Lisa boleh dianggap berjaya membawakan watak wanita psiko untuk filem itu.

Cuma di saat pencalonan FFM 27 diumumkan hinggalah menjelang malam kemuncak, Lisa sebenarnya sedang sarat mengandung anak pertamanya hasil perkongsian hidup dengan Yusry.

Lisa dijangka melahirkan bulan September depan. Lalu, Lisa secara jelas tak mampu memberikan komitmen untuk sebarang promosi FFM 27 apatah lagi hadir pada malam kemuncak.

"Lisa memang tak boleh berjanji untuk memberikan komitmen menjelang FFM 27. Lisa sudah terangkan hal ini kepada ibu dan dia sendiri juga sudah menjelaskan keadaan sebenar kepada pihak FFM. Lisa yakin mereka memahami keadaan ini. Hasrat di hati memang nak turut serta tapi apakan daya, Lisa sedang sarat mengandung," katanya kepada BH Online.


ANTARA babak lakonan Lisa dalam filem Dendam Orang Mati.


LISA membawakan watak pesakit mental dalam filem Dendam Orang Mati arahan Jason Chong.

Mengenai pencalonannya itu, Lisa memanjat kesyukuran kerana sekali lagi bakat lakonannya diiktiraf untuk kelompok lima terbaik.

"Syukur ke hadrat Ilahi ke atas pencalonan tahun ini. Lisa rasa amat rendah hati apabila mengetahui pencalonan ini bersama nama besar di arena perfileman. Semua calon amat Lisa hormati malah meminati lakonan mereka. Membawakan watak Lena ini sangat mencabar. Tak silap Lisa penggambaran berlangsung sekitar 2012.

"Tak mungkin Lisa dicalonkan kalau tidak kerana hasil kerjasama pengarah dan juga guru lakonan, Ibu Fauziah Nawi. Tak lupa tenaga produksi dan juga sokongan moral daripada suami," katanya.

Berita Harian X