Jumaat, 7 Ogos 2015 | 7:41pm

Pengganti program GLCT diumum Januari depan


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (dua dari kanan), melawat ke ruang pameran selepas merasmikan Hari Terbuka Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut kelihatan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wahid Omar (tiga dari kanan) dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar (tengah). - Foto Mohamad Shahril Badri saali

KUALA LUMPUR: Nama rasmi bagi entiti pengganti kepada Program Transformasi GLC (GLCT) yang baru berakhir, akan diumumkan pada Januari tahun depan.

Entiti dalam bentuk sebuah kelab yang akan dianggotai oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu adalah kesinambungan bagi proram GLCT 10 tahun yang dilancarkan pada Julai 2005.

Telekom Malaysia Bhd (TM) dilantik menggantikan Khazanah sebagai pengerusi dan pengatur selia entiti pengganti itu.

Pengarah Urusan, Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar, berkata entiti pengganti berkenaan bakal meneruskan keupayaan institusi, kepimpinan serta tenaga kerja yang berjaya dibentuk menerusi program GLCT terdahulu.

"Kami tidak mahu mengakhiri program itu, sebaliknya akan membentuk pencapaian baharu melalui perjalanan yang lebih panjang lagi.

"Entiti pengganti itu hanya akan menggantikan beberapa struktur yang terdapat pada program terdahulu," katanya selepas majlis pentauliahan program GLCT dan pelancaran Hari Terbuka GLC di sini, hari ini.

Majlis itu yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan sebanyak lima GLIC dan 17 GLC menerima pentauliahan bagi pembabitan masing-masing di dalam program GLCT sejak sedekad lalu.

Mengulas lanjut, Azman berkata secara keseluruhannya dalam tempoh sedekad lalu hampir keseluruhan prestasi syarikat yang terbabit di dalam program GLCT adalah sangat memberangsangkan.

Ketika program GLCT bermula 10 tahun lalu, kebanyakan GLC berada di ambang krisis susulan masalah yang dihadapi pada era krisis kewangan Asia 1998 malah GLC tradisi seperti TM dan TNB juga mencatatkan prestasi di bawah keupayaan sebenar.

"Jika bukan kerana transformasi, syarikat terbabit tidak mampu menghadapi rintangan pada tahun 2008, malah kami juga menerapkan budaya ujian tekanan dan tahap kesediaan yang tinggi dalam kalangan GLC," katanya.

Hari Terbuka GLC 2015 berlangsung hingga Ahad bertemakan "Meningkatkan Kecemerlangan:Membina Negara, Memupuk Insan".

Berita Harian X