Isnin, 22 September 2014 | 9:25pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) merasmikan Buku Demokrasi di Malaysia sambil diperhatikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Abdul Malek Abdul Karim (dua kiri) pada Majlis Pelancaran Buku Demokrasi di Malaysia di Dewan Hotel Edc Universiti Utara Malaysia (UUM). - Foto Sharul Hafiz Zam

Mukhriz arah kajian peratusan tanah rizab Melayu di Kedah

SINTOK: Kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) menyediakan laporan kajian terperinci mengenai peratusan tanah rizab Melayu di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata ini kerana laporan mengenainya bagi Kedah pada 2009 mengesahkan kira-kira 351,613.10 hektar tanah adalah milik rizab Melayu.

"Saya terkejut bahawa rizab Melayu jatuh 12 peratus....ini tak sepatutnya berlaku berikutan tanah ini satu-satunya aset yang ada dan kita nak pastikan ia dibangunkan serta beri manfaat seadil-adilnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Demokrasi di Malaysia' di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini bahawa tanah rizab Melayu di negara ini hanya tinggal 12 peratus, sedangkan wasiat Raja-raja Melayu sempena pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 menetapkan nisbah 50 peratus tanah di negara ini diperuntukkan kepada tanah rizab Melayu.

Buku Demokrasi di Malaysia oleh Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, Abdul Rahman Abdul Aziz dan Muhamed Nor Azman Nordin, menghimpunkan pelbagai tulisan dalam memahami konteks demokrasi yang diamalkan di Malaysia.

Berita Harian X