Selasa, 23 September 2014 | 9:35am

Konflik cinta dan kerjaya dalam siri Hanya Satu

PELANCARAN siri web Hanya Satu di Tonton dan sambutan ulang tahun ke-4 web Tonton. - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Portal video nombor satu di Malaysia, Tonton (www.tonton.com.my) meraikan ulang tahun keempat sepanjang September ini dengan rekod lebih empat juta pengguna berdaftar.

Justeru, sebagai hadiah istimewa buat pengguna setia, Tonton hari ini melancarkan sebuah lagi siri web original berjudul Hanya Satu.

Drama bersiri ini menampilkan Syarif SleeQ, Kilafairy, Qhaud Rashid, Fezrul Khan, Wan Sharmila bersama bintang jemputan Altimet, Anzalna Nasir, RJ dan Raja Farah.

Drama ini bakal meneruskan kejayaan siri terdahulu seperti Autumn Di Hatiku Musim 1 & 2, Dan Calonnya Adalah serta Stand Up.

Hanya Satu mengisahkan cabaran dan jerih perih perjuangan seorang anak seni yang baharu menceburkan diri dalam industri hiburan tempatan.

Ia berlatarkan kisah hidup pasangan muda, Syarif (Syarif SleeQ) dan Suria Hana (Kilafairy), yang begitu menggemari bidang muzik.

Syarif, Suria dan rakan baik mereka Ally (Qhaud Rashid), sering kali menyertai aktiviti "jamming' sambil mengasah bakat muzik bersama.

Suatu hari, Syarif mendapat tahu mengenai uji bakat pertandingan nyanyian terkenal dan berjaya menyakinkan Suria untuk mencuba nasib.

Ally pada mulanya tidak mahu membantu kerana kurang menggemari Suria namun akhirnya bersetuju demi Syarif.

Semasa uji bakat, kehebatan vokal Suria berjaya menambat hati juri. Setahun berlalu, Suria kini berada di ambang kemuncak populariti dan dalam proses melancarkan album keduanya.

Dalam temu bual di sebuah program tv, Suria tidak mengakui yang hatinya sudah dimiliki, lantas Syarif memaksa penjelasan daripada Suria.

Suria pula menyalahkan keadaan dan kekangan industri hiburan serta mahukan hubungan mereka tidak digembar-gemburkan.

Ally sekali lagi mengingatkan Syarif yang nyata kecewa bahawa Suria sering kali mengambil kesempatan terhadap dirinya dan mahu Syarif berjuang untuk dirinya sendiri.

Adakah cinta atau kerjaya yang bakal mempengaruhi perhubungan Suria dan Syarif?

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Media Prima Digital, Lam Swee Kim, hanya ucapan terima kasih di kalungkan kepada lebih empat juta pengguna berdaftar portal Tonton di atas sokongan berterusan.

"Sepanjang empat tahun lalu, kami berusaha menyajikan yang terbaik buat semua yang setia bersama Tonton.

"Hanya Satu menjadi hadiah istimewa kami buat peminat Tonton. Kami berharap supaya semua penonton terhibur dengan siri web ini. Pastinya lebih banyak kandungan hebat bakal menanti anda pada tahun 2015," katanya.

Sebagai tambahan untuk hadiah istimewa ini, dengarkan album runut bunyi siri web ini di Tonton Music - www.tontonmusic.com.my! Hanya Satu disiarkan bermula 15 September lalu dan bakal berakhir 17 Oktober depan.

Ia bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 12 tengah hari di www.tonton.com.my.

Berita Harian X