Isnin, 10 Ogos 2015 | 9:29am

Emelda Rosmila mahu kukuhkan jenama fesyen sendiri

EMELDA Rosmila.

KUALA LUMPUR: Bermula cukup baik dalam dunia lakonan sejak lebih 14 tahun, Emelda Rosmila kini tidak mahu terus berada di zon selesa. Jadi tidak hairan dia terus mempelbagaikan apa sahaja bakat yang boleh digilapnya. Kini dia memikul komitmen sebagai veejay sepenuh masa di Peace Yall FM milik pengacara terkenal Datuk AC Mizal sejak tiga bulan lalu.

Isteri kesayangan Adlin Aman Ramli itu juga sebenarnya sudah menceburi dunia fesyen termasuk bergelar pereka fesyen menerusi labelnya sendiri iaitu EmeldaRose.

Minatnya terhadap dunia fesyen, kecantikan dan gaya hidup yang cukup sinonim dengan golongan wanita terus mengukuhkan keinginannya menceburi bidang berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Ketika ini, Emelda sebenarnya dalam debaran sekali gus menghitung hari untuk terbabit dalam pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015 yang akan berlangsung di pusat beli-belah Pavilion dari 12 hingga 16 Ogos ini.

Slot Emelda mempersembahkan koleksi Emeldarose miliknya jatuh pada 16 Ogos ini sebelah petang. Fazura juga antara artis yang turut serta bagi misi yang sama.

Pentas fesyen popular yang ditunggu-tunggu penggemar fesyen tanah air itu bukan yang sulung disertai beliau. Emelda pernah menyertai pertunjukan sebegitu termasuk berkongsi pentas dengan pereka tersohor, Zang Toi.

"Selama ini memang saya impikan jenama fesyen sendiri dan ia menjadi kenyataan. Saya pun berasakan kerjaya lakonan tak akan berpanjangan dan tak mahu mengakhiri dunia seni sebagai seniwati pun. Saya nak jadi ahli perniagaan berjaya. Saya juga tak meletakkan harapan besar dalam dunia lakonan.

"Tiga tahun mengembangkan label fesyen termasuk mendekati arena fesyen itu sendiri, saya rasa skop fesyen lebih meluas. Dunia fesyen ini saya lihat lebih mudah untuk dikembangkan ke peringkat antarabangsa berbanding hiburan. Insya-Allah. Saya sertai bidang fesyen ini pun sebab boleh berada dalam tempoh yang lama. Jadi saya buat apa yang saya gemari.

"Lagipun dunia hiburan ini banyak perkara yang menghalang dan menyekat. Itu tak boleh.. ini tak dapat. Lama-lama ia akan berada di takuk yang sama. Dunia fesyen ini seronoknya saya boleh reka sendiri dan tak salah saya memakainya untuk tujuan promosi atau menghadiri acara tertentu.

"Dulu nak ke majlis anugerah, ada pereka fesyen yang menaja tetapi sekarang saya boleh gayakan busana rekaan sendiri," katanya.

Menyertai KLFW 2015 buat pertama kali, Emelda melihat ia sebagai ruang terbaik memasar serta mempromosikan jenama Emeldarose kerana ia acara tahunan yang paling dinanti-nantikan.

"Ini juga ruang untuk saya perkenalkan jenama dan diri ke peringkat yang lebih luas. KLFW boleh saya katakan menjadi platform terbaik untuk itu selain mendapat liputan di dalam serta luar negara," katanya.

Di peringkat antarabangsa sendiri ramai selebriti yang turut melebarkan sayap menjadi pereka fesyen atau memiliki jenama sendiri. Contohnya seperti Kim Kardashian dan Victoria Beckham. Jadi Emelda lihat ia bukan satu perkara mustahil dalam menggapai impian mahupun cita-cita yang diingini.

"Ada duit, kepandaian, ilmu dan minat yang mendalam, semuanya tak mustahil. Tapi harus diingat, setiap apa yang dilakukan... ilmu itu sangat penting. Kita harus tahu apa yang kita buat.

"Saya sendiri turut masuk kursus jangka pendek dalam jahitan sebagai contoh. Saya serius dalam bidang ini jadi tak boleh membabi buta atau semberono melakukan itu dan ini.

"Menyertai fesyen, banyak ilmu teknikal mengenai menyiapkan baju itu perlu dipelajari. Ia bukan mudah seperti disangka. Dunia fesyen ini juga sangat menarik. Tiada sempadan dalam fesyen.

"Saya pula jenis yang suka berangan, memang sesuailah juga jadi pereka fesyen. Saya mahu terus mengukuh empayar fesyen suatu hari nanti. Doakan ya!," katanya.

Di akhir perbualan, Emelda memberitahu dia tidak mahu meninggalkan kerjaya lakonannya secara drastik. Katanya lagi, dunia lakonan tak mungkin ditinggalkan begitu sahaja.

"Tipulah kalau saya cakap tak rindu berlakon dan ke set penggambaran. Tapi masa mencemburui saya sejak sepenuh masa menjadi veejay PeaceYall FM dan mengukuhkan jenama Emeldarose.

Suatu masa nanti, saya pasti kembali berlakon. Dalam apa sahaja saya lakukan izin dan restu keluarga serta suami tersayang menjadi azimat penting," katanya.

Berita Harian X