Isnin, 10 Ogos 2015 | 5:30pm

Hayati Negaraku, letak tangan atas dada - Rahman Dahlan

ABDUL Rahman menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai penghargaan kepada Tokoh Guru Kebangsaan 2015, Selamat Omar (dua dari kiri) pada majlis Sambutan Hari Guru Sekolah SMK Taun Gusi Dua. Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip (tengah).- Foto

KOTA BELUD: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan meminta semua anggota kementeriannya agar meletakkan tapak tangan kanan di atas dada kiri ketika lagu 'Negaraku' dikumandangkan pada majlis rasmi, mulai hari ini.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, berkata langkah itu sebagai mengukuhkan lagi penghayatan terhadap lagu kebangsaan serta melambangkan semangat cinta dan kebanggaan tinggi kepada negara.

"Saya ingin mencadangkan, bermula daripada kementerian saya, jika tidak salah dari segi undang-undang dan peraturan kerajaan, saya akan semak dengan Ketua Setiausaha Negara, saya minta semua warga kementerian, apabila menyanyikan lagu Negaraku akan meletakkan tangan kanan di atas jantung mereka.

"Itu adalah isyarat patriotisme yang lebih intim dan lebih peribadi dan saya melihat itu boleh menunjukkan kesungguhan kita untuk menghormati lagu kebangsaan kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Guru peringkat Kota Belud di SMK Taun Gusi 2 di sini hari.

Abdul Rahman berkata, beliau akan meminta Ketua Setiausaha kementeriannya untuk melaksanakan arahan itu mulai hari ini.

Amalan itu, katanya, boleh dilakukan kerana anggota keselamatan seperti polis akan tabik sebagai tanda hormat ketika lagu Negaraku dinyanyikan pada majlis rasmi kerajaan.

- BERNAMA

Berita Harian X