Isnin, 10 Ogos 2015 | 11:20pm

Keputusan kemasukan universiti awam diketahui esok

 

KUALA LUMPUR: Status keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi boleh disemak mulai esok.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Asma Ismail, berkata surat tawaran rasmi UA akan dikeluarkan kepada calon berjaya mulai esok, dan perlu membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh 10 hari pada atau sebelum 22 Ogos ini.

"Keputusan tawaran boleh disemak di lima laman sesawang iaitu http://upu.mohe.gov.my; https://jpt.utm.my; http://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my dan http://jpt.ums.edu.my.

"Selain laman sesawang, semua calon boleh menghubungi 03-88706767, 03-88706777 atau 03-88706755/6766 dan melalui SMS dengan menaip UPU RESULT [Nombor Kad Pengenalan] dan hantar ke 15888," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Asma berkata, bagi mereka yang gagal pula, rayuan boleh dibuat melalui aplikasi e-Rayuan di laman sesawang kemasukan di http://upu.mohe.gov.my bermula 12 tengah hari, hari ini.

"Keputusan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA selepas pendaftaran pelajar baharu dan tawaran adalah muktamad.

Bagi mereka yang tidak mendapat sebarang jawapan dari UA sehingga 20 September depan, rayuan terbabit dianggap gagal.

Katanya, 49,841 daripada 63,942 calon lepasan STPM, Matrikulasi, Asasi sesi akademik 2015/2016  berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di 20 UA seluruh negara.

"Berdasarkan jumlah calon yang berjaya, 23,883 calon aliran Sains dan 16,555 calon aliran Sastera," katanya.

Berita Harian X