Selasa, 11 Ogos 2015 | 7:56am

Agama: Beruzlah cari kekuatan perbaiki diri


BERUZLAH menjadikan jiwa tenang dan hanya mengharapkan pertolongan Ilahi. - Foto hiasan

AWAL kehidupan kita mengenali manusia, kemudian membesar mengenal Allah SWT. Kita diperkenalkan dengan iman dan diberi didikan untuk beramal kepada Allah SWT. Kita menghabiskan zaman kanak-kanak dengan riang dan ceria kerana bersihnya hati kita.

Masa berlalu, kita terus mengharungi perkembangan kehidupan dari alam persekolahan, pekerjaan, perkahwinan dan seterusnya. Dari alam keluarga, kita dikelilingi manusia yang menjadi teman, musuh, menyokong atau menjatuhkan kita. Kenalan bertambah mengikut peningkatan usia.

Kita lalu disibukkan dengan pelbagai urusan harian membabitkan hubungan sesama manusia. Ditambah dengan kepesatan teknologi hari ini, kita berupaya mengenali dan memiliki sebegitu ramai kawan.

Berada di tengah ribuan manusia setiap hari dengan pelbagai urusan tidak berkesudahan. Kita dilekakan dengan pujian, cinta dan perhatian makhluk Allah SWT bernama manusia. Kita menjadi 'manja' dengan penghargaan manusia. Kita mudah menjadi terkesan dengan pandangan, fikiran dan kata-kata manusia di sekeliling kita.

Harap perhatian manusia

Kita sering mengharapkan perhatian manusia dan menantikan kata-kata pujian atas perbuatan baik dan tingkah laku kita. Jika pandangan, fikiran dan kata-kata manusia itu tidak menepati hati dan kehendak, kita mudah berasa marah serta kecewa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Surah al-Raad, ayat 28)

Ustaz Muhamad Abdullah Al-Amin menerusi rancangan Pesona D'Zahra yang bersiaran jam 10.15 pagi di

IKIMfm, Isnin lalu, mengupas persoalan mengapa manusia hari ini mudah terganggu emosi dan mentalnya.

Mungkin kerana kita berharap kepada orang lain, tetapi malangnya kita berasa dikecewakan mereka.

Beliau berkata, kekecewaan yang dirasakan mungkin disebabkan kita tersalah menyandarkan harapan, keikhlasan dan impian kepada makhluk maka disebabkan itu kita selalu kecewa sedangkan sepatutnya kita meletakkan harapan kepada Allah SWT.

Katanya, umat Islam digalakkan mencari ruang waktu dari masa ke masa untuk bersendirian mencari Allah SWT. Bukan sedikit tokoh hebat dan orang salih terdahulu dalam sejarah umat Islam telah mencari kekuatan dengan amalan beruzlah.

Nama terkenal seperti Sultan Muhamad Al Fateh penakluk kota Constantinople yang kaya dan ternama, pemimpin daripada khalifah Uthmaniyyah bernama Sultan Biyazid dan ramai lagi yang tidak gentar menanggalkan pakaian kerajaan digantikan pakaian zuhud ketika beruzlah mencari kekuatan dengan mengasingkan diri serta beribadah sebanyak-banyaknya.

Menurut Muhammad, sesungguhnya manusia itu sentiasa diselubungi pelbagai penyakit yang tidak akan dapat diubati kecuali dengan jalan mengasingkan dan memperhitungkan diri di tempat sunyi, jauh daripada suasana dunia yang rakus, sombong, bongkak, dengki serta bermegah-megah.

Beliau berkata, segala-galanya itu adalah penyakit mencengkam jiwa manusia dan menguasai hati yang lemah akibat jauh dari Allah SWT. Maka jalan terbaik untuk kembali kepada Allah SWT adalah merenung dan bertafakur dengan segala nikmat pemberian-Nya, menghayati keagungannya serta kebesaran-Nya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Hanya orang Mukmin yang sebenar itu apabila disebut saja nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibaca ayat al-Quran, bertambahlah keimanan mereka dan hanya kepada Allah sajalah mereka menyerah diri." (Surah al-Anfal, ayat 2)

Pada kesempatan beruzlah, kita dapat bermuhasabah diri merenung kebesaran Allah SWT, menghitung dosa dan perbuatan buruk kita sambil membandingkan dengan rahmat serta nikmat Allah SWT yang tidak terhitung.

Melalui ketenangan ketika beruzlah juga, kita mencari ilmu mengenai keesaan Allah SWT yang menciptakan segala di antara langit dan bumi, memohon rahmat, keampunan serta cuba memahami sesungguhnya kehidupan di dunia ini hanyalah seketika sementara akhiratlah tempat abadi.

Di sinilah diri akan memperoleh kekuatan untuk melaksanakan sesuatu ibadah dan amalan baik kerana hati hanya mengharapkan ganjaran dan reda Allah SWT. Apabila keikhlasan menjadi tunjang amalan, balasan dan perhatian manusia tidak akan menjadi permasalahan kepada seseorang itu.

Dalam konteks rumah tangga, keikhlasan dan mencari reda Allah SWT penting kepada setiap ahli keluarga dalam melaksanakan tanggungjawab, ketaatan serta amalan. Ia akan membuatkan suami atau isteri tidak mudah kecil hati, kecewa, marah dan murung jika pasangan tidak memberikan balasan atau penghargaan setimpal.

Tidak putus asa

Kita akan berasa cukup dengan ganjaran dan rahmat yang Allah SWT sediakan sebagai balasan perbuatan baik kepada manusia lain. Apatah lagi untuk mengungkit-ungkit sesuatu amalan atau pemberian apabila keikhlasan disandarkan kepada Allah SWT semata-mata.

Orang yang mengenal Allah SWT tidak akan putus asa dan memiliki kekuatan hati. Oleh itu, berusahalah mencari ruang beruzlah serta tanamkan keyakinan dalam hati bahawa hanya Allah SWT tempat mengharapkan reda dan tempat bergantung harap.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghampakan janji buat hamba-Nya yang selalu mengharapkan ihsan dan kasih sayang-Nya. Bergantung hanya kepada Allah SWT akan melapangkan hati dan memberi kekuatan jiwa untuk menjalani kehidupan yang penuh ujian serta cabaran ini.

Berita Harian X