Selasa, 11 Ogos 2015 | 9:02pm

MH17: Penyiasat temui serpihan mungkin daripada peluru berpandu BUK


GAMBAR fail pada 17 Julai 2014 menunjukkan polis sedang meninjau lokasi nahas pesawat MH17 berhampiran perkampungan di Grabovo, Ukraine. - Foto AP

THE HAGUE: Penyiasat insiden pesawat MH17 berkata mereka sudah mengenalpasti beberapa serpihan yang mungkin daripada peluru berpandu BUK buatan Russia di lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu terhempas di timur Ukraine.

Penyiasat antarabangsa dan Belanda sedang meneliti "beberapa bahagian yang mungkin daripada sistem peluru berpandu BUK," menurut kenyataan bersama pihak pendakwa raya dan Lembaga Keselamatan Belanda (OVV).

"Bahagian ini ditemui semasa misi mencari di timur Ukraine dan kini dalam jagaan pasukan penyiasatan jenayah MH17 dan OVV," menurut kenyataan itu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh pada 17 Julai tahun lalu, menyebabkan semua 298 orang dan anak kapal terbunuh ketika pertempuran hebat antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Russia.

Ukraine dan beberapa negara Barat mendakwa puak pemisah itu menembak jatuh pesawat berkenaan, menggunakan sistem peluru berpandu BUK yang dibekalkan Russia.

Russia dan puak pemisah berkenaan menafikan dakwaan itu dan menuduh tentera Ukraine menembak jatuh pesawat itu.

Anggota Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) yang dianggotai wakil Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia, Britain, Amerika Syarikat dan Russia kini bermesyuarat di The Hague bagi membincangkan draf laporan OVV berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, pihak penyiasat menegaskan "pada masa ini rumusan wujudkan kaitan antara serpihan itu dengan insiden MH17 terhempas tidak boleh dibuat."

Russia bulan lalu menggunakan kuasa veto bagi menyekat usaha Majlis Keselamatan PBB membentuk tribunal bagi membicarakan dalang insiden itu.

OVV akan mengeluarkan laporan akhir berhubung apa yang menyebabkan pesawat berkenaan terhempas, bukan pihak yang bertanggungjawab, pada Oktober depan. - AFP

206 dibaca
Berita Harian X