Khamis, 13 Ogos 2015 | 8:20pm

Untung sebelum cukai suku-2 Media Prima naik kepada RM57j

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd, kumpulan pelaburan media bersepadu terbesar tempatan mencatatkan pendapatan RM695.2 juta dan keuntungan bersih RM61.7 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.

Pendapatan Media Prima pada suku kedua 2015 meningkat 11 peratus kepada RM365.8 juta berbanding suku pertama, manakala keuntungan bersihnya dalam tempoh sama meningkat lebih 100 peratus berikutan kesan asas bermusim yang rendah pada suku pertama sambil sentimen perniagaan meningkat pada Jun sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Media Prima, Tan Sri Johan Jaaffar, berkata keputusan kewangan kumpulan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini terjejas disebabkan oleh perbelanjaan pengiklanan yang perlahan dan sentimen makroekonomi berwaspada.

"Bagaimanapun, kami yakin berjaya mengekalkan kedudukan sebagai peneraju industri iaitu sebagai konglomerat media terkemuka yang terus memberikan pulangan yang kukuh kepada pemegang sahamnya," katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Johan menambah, Lembaga Pengarah Media Prima mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 3.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, yang akan dibayar pada 30 September ini.

Mengenai prospek bagi 2015, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata margin keuntungan selepas cukai yang positif mencerminkan usaha berterusan untuk mengkaji semula dan meningkatkan kecekapan dalaman di samping pengurusan kos dengan berkesan.

"Disebabkan perniagaan dan keadaan pasaran yang mencabar, Media Prima akan fokus terhadap pelaksanaan strategi utama kepada pertumbuhan pengiklanan dalam tempoh kewangan enam bulan yang berikutnya kerana perbelanjaan pengiklanan dijangka akan meningkat di akhir tahun ini berdasarkan arah aliran yang lalu.

"Media Prima sebelum ini telah mengambil beberapa tindakan strategik termasuk menjalankan pengurusan kewangan yang berhemat di samping meningkatkan kecekapan operasi. Ini dapat dilihat dalam PATAMI kumpulan bagi tempoh enam bulan pertama 2015," katanya.

Beliau berkata, walaupun Media Prima terus berhati-hati terhadap pertumbuhan pengiklanan disebabkan sentimen pengguna dan ekonomi, kumpulan masih terus mengembangkan kandungan pelbagai platform yang melangkaui kaedah tradisional.

"Salah satu contoh adalah bagaimana sesetengah kandungan sedang dipasarkan kepada saluran luar Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), yang akan menawarkan peluang baharu bagi kumpulan," katanya.

Amrin berkata, Media Prima akan terus menyediakan kandungan tempatan dan antarabangsa yang terbaik melalui perkongsian dengan pengeluar kandungan lain, penyiar asing dan penyedia media digital sedang pesat berkembang di samping bertujuan untuk menembusi pasaran baharu dan membina aliran pendapatan tambahan.

"Melangkah ke depan, Media Prima berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju yang kuat dengan meningkatkan strategi platform perniagaan masing-masing termasuk menyediakan kandungan yang menarik, penjualan kandungan, meningkatkan penawaran perkhidmatan dan memberikan penyelesaian pengiklanan yang inovatif kepada pelanggan," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X