Jumaat, 14 Ogos 2015 | 9:21am

Gitaris 6ixth Sense, Gjie nikah Bella esok


ANGGOTA kumpulan 6ixth Sense, Gjie bersama bakal isterinya, Bella.

KUALA LUMPUR: Seorang anggota kumpulan 6ixth Sense akan melangsungkan pernikahan petang esok. Malah, selama ini dunia hiburan sering disajikan dengan cerita peribadi membabitkan perancangan perkahwinan vokalis kumpulan berkenaan, Adi. Namun jodoh belum sampai untuk Adi menamatkan zaman bujang.

Bukan Adi yang akan bernikah esok sebaliknya gitaris 6ixth Sense, Gjie yang terlebih dahulu akan berkahwin. Sekali gus Gjie atau nama sebenarnya Mohd Faiz Azizi Arlis menjadi anggota kumpulan berkenaan yang pertama akan berkahwin. Gjie akan diijab kabul dengan Farah Nabila Selamat atau Bella selepas Zuhur esok di sebuah dewan di Jalan Klang Lama.

Empat tahun perkenalan ketika menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) akhirnya membawa ke jenjang pelamin. Gjie ketika itu menuntut dalam jurusan muzik bagi tahun ketiga manakala Bella pula tahun kedua untuk jurusan penulisan kreatif. Majlis resepsi akan diadakan pada 4 Oktober hadapan.

"Kami bertunang raya ketiga tahun lalu. Ikut perancangan saya nak kahwin umur 32 tahun. Tapi seru dan jodoh sampai awal. Tapi kini saya baharu 30 tahun. Saya merancang nak kahwin ketika itu sebab nak beri tempoh membuat persediaan mengumpul aset sebelum bertanggungjawab kepada anak orang.

"Tak sangka pula saya jadi anggota pertama 6ixth Sense yang kahwin dahulu. Sudah nama pun jodoh. Insya-Allah saya akan pikul tanggungjawab dan amanah ini sebaik mungkin," katanya.


ANGGOTA kumpulan 6ixth Sense, Gjie bersama bakal isterinya, Bella.

Mengenai Bella, Gjie menyifatkan bakal isterinya itu sangat memahami apatah lagi bekerja dalam dunia seni yang komitmennya tidak menentu masa.

"Masa mula kenal dia dahulu, muka dan sikapnya memang tak setara. Saya ini jenis yang suka wanita comel. Tapi apabila sudah rapat dengannya, Bella sebenarnya sangat sempoi dan selamba. Dia tak banyak kerenah," katanya.

Selain komitmen kepada 6ixth Sense, Gjie juga menguruskan syarikat muzik Lunasuara Records selain mempunyai artis naungan sendiri iaitu Cherpen Band dan Sha Sazeli.

"Syarikat ini baharu tiga tahun bertapak. Masih merangkak lagi sebenarnya. Tapi saya bersyukur kerana turut diberi peluang mencipta skor muzik bagi drama dan filem tempatan. Antaranya drama Setia Hujung Nyawa dan dua buah filem iaitu Balistik dan Isyarat Cinta," katanya.

Pada majlis pernikahan esok Gjie akan menyerahkan wang hantaran berjumlah RM10,000 dan mas kahwin yang mengambil simbolik tarikh esok bernilai RM158.15 (15.8.2015).

Pihak pengantin lelaki turut akan menyerahkan tujuh dulang berbalas lima daripada pengantin perempuan.

Berita Harian X